Sebuah premis di Taman Perindustrian SILC, Iskandar Puteri di Johor yang tular susulan pemasangan Jalur Gemilang dan bendera negeri Johor secara terbalik telah diberikan amaran tegas dan diarahkan membetulkan kedudukan bendera berkenaan dengan serta-merta.
Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil tindakan segera dan tegas susulan aduan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berhubung perkara tersebut.
Pasang bendera terbalik
“Hasil tindakan yang turut disertai oleh ADUN Kota Iskandar dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemilik premis telah diberikan amaran tegas dan arahan untuk menurunkan serta membetulkan kedudukan bendera dengan serta-merta,” katanya.
Tiada lesen perniagaan sah
Pemeriksaan lanjut turut mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan MBIP yang sah.

Susulan itu, MBIP mengeluarkan Notis Henti Niaga dan mengarahkan premis berkenaan menghentikan operasi serta ditutup.
Premis berkenaan turut dikenakan kompaun kerana mempamerkan papan iklan tanpa lesen MBIP.
“Dalam pemeriksaan sama, seramai 14 pekerja berada di premis berkenaan yang terdiri daripada dua warga tempatan dan 12 warga asing.
“Kesemua warga asing tersebut telah ditahan dan dibawa ke IPD Iskandar Puteri bagi tujuan siasatan lanjut berkaitan status permit pekerjaan mereka,” ujar MBIP dalam kenyataan di Facebook.

Tambah MBIP, pihaknya memandang serius sebarang ketidakpatuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa, termasuk aspek perlesenan premis serta tatacara pemasangan dan penghormatan terhadap bendera kebangsaan dan negeri.
“Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor merupakan lambang kedaulatan, identiti dan maruah yang wajib dihormati.
“MBIP tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan di bawah bidang kuasa Majlis. Pemantauan dan tindakan susulan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

