Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

TV AlHijrah menutup tirai siaran 2025 dengan pelbagai pencapaian membanggakan. Stesen televisyen berkonsepkan gaya hidup Islam ini berjaya menghasilkan karya yang lebih matang, meneroka program baharu pelbagai format serta memperkukuh peranannya sebagai penyiar Islam yang memikul amanah pendidikan dan pencerahan untuk rakyat Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, stesen berkenaan telah mencatat pelbagai perkembangan positif sepanjang tahun 2025, sekali gus membuktikan bahawa kandungan Islamik berkualiti sentiasa mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Ini termasuk penerimaan kukuh terhadap kandungan digital dan televisyen, selain kejayaan mempelbagaikan genre serta pendekatan penyiaran agar nilai dakwah dapat disampaikan dengan lebih segar dan relevan.
Sebagai tanda penghargaan dan buah tangan buat penonton setianya, TV AlHijrah mempersembahkan lima program berimpak besar khas untuk tontonan umum di penghujung 2025.
Konsert Malam Hijrah Bergema, buat julung kalinya diadakan pada 31 Disember 2025, jam 9 malam, bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC). Konsert ambang tahun baharu ini menyatukan irama nasyid, zikir dan semangat hijrah. Konsert ini turut menghimpunkan barisan artis ternama seperti Rabbani, Raihan, UNIC, In Team, Lah Ahmad, Hijjaz, Mawi, Sufian Suhaimi, Munsyid Muda (Simfoni, Rabithah, Fine, Aeydan, Onepath, Andika), di samping menampilkan penyanyi legenda Datuk Hattan, Dato’ Jamal Abdillah dan Dato’ Nash.
Menurut Namanzee, konsert ini adalah buah tangan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar.

Selain hiburan, TV AlHijrah turut menekankan pengisian ilmu melalui Konvensyen Assalamualaikum: Perjalanan Menuju Kepada-NYA yang turut dianjurkan di PICC sehari sebelum Konsert Malam Hijrah Bergema, iaitu pada 30 Disember 2025 dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari. Sesi petang pula, dari jam 2 petang hingga 4 petang akan diadakan Bengkel Solat bersama Ustazah Muzayyanah dan Ustaz Dr. Haji Nur Mohammad Hadi Zahalan.
Menurut Namanzee, penonton yang tidak berkesempatan hadir ke PICC turut diraikan dengan hidangan sebuah rancangan istimewa di kaca televisyen iaitu Program Anugerah Carta 114 Musim Ketiga.
5 telefilem terbaik siaran eksklusif di AH+ adalah Surat Dari Syurga, Menantu Datuk Nikah Kahwin, Vibrasi Ayat-Ayat Tuhan, 30 Juzuk Terakhir serta Tanda Kiriman Tuhan.
Penglibatan pelakon hebat seperti Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Dato’ Sri Eizlan Yusof, Datuk Remy Ishak, Izzue Islam, Remy Ishak, PU Rozi, Nasuha Sulaiman, Syafie Naswip, Datuk Fauziah Nawi, Vanida Imran dan ramai lagi membuktikan bahawa dakwah boleh disampaikan melalui visual yang berkualiti tinggi dan berdaya saing.
Menurut Namanzee, melangkah ke 2026, TV AlHijrah bertekad memperluas capaian, memperhebat kandungan digital, dan kembali aktif di lapangan.
Antara rancangan utama termasuk pengisian di masjid, institusi pendidikan, lokasi tumpuan awam serta penganjuran Karnival Hijrah 2026 yang akan membuka lembaran baharu hubungan fizikal antara TV AlHijrah dan masyarakat.
Namanzee juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong perjalanan dakwah TV AlHijrah sepanjang 2025. Dengan itu, TV AlHijrah menutup tirai 2025 dengan penuh syukur dan optimisme, bersedia melangkah ke 2026 dengan semangat baharu, karya lebih mantap, dan impak yang lebih mendalam kepada masyarakat. Penonton dijemput menyertai perjalanan dakwah, hiburan, dan ilmu yang lebih luas pada tahun hadapan melalui pelbagai inisiatif stesen.