Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

UEFA Umum Boikot Semua Kejohanan FIFA Jika Piala Dunia Dijual Kepada Pelabur Swasta

UEFA
Kredit: AFP

UEFA Umum Boikot Semua Kejohanan FIFA Jika Piala Dunia Dijual Kepada Pelabur Swasta

Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) sebulat suara mengumumkan akan memboikot semua kejohanan anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya badan induk itu meneruskan rancangan menjual pegangan kepentingan dalam Piala Dunia kepada pelabur swasta.

Keputusan tersebut dibuat menerusi mesyuarat tergempar yang melibatkan kesemua 55 negara anggota UEFA, dengan cadangan boikot diluluskan secara sebulat suara menerusi undian 55-0.

Dalam satu kenyataan, UEFA berkata pihaknya menolak sepenuhnya cadangan FIFA untuk memindahkan hak pemilikan dalam Piala Dunia serta kejohanan lain kepada pelabur swasta.

"Kami sebulat suara dan tanpa sebarang keraguan menolak cadangan FIFA untuk memindahkan kepentingan pemilikan dalam Piala Dunia dan pertandingan FIFA yang lain kepada pelabur swasta," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut UEFA, Piala Dunia bukan sekadar aset komersial, sebaliknya warisan sukan yang dibina sejak beberapa generasi hasil sumbangan pemain, pasukan kebangsaan dan penyokong di seluruh dunia.

Badan itu turut menegaskan bahawa sebaik sahaja pelabur luar memiliki kepentingan dalam kejohanan FIFA, setiap keputusan berkaitan kalendar antarabangsa, format pertandingan dan hala tuju bola sepak dunia berisiko dipengaruhi kepentingan komersial.

"Tiada siapa mempunyai kuasa moral untuk menjual sesuatu yang hanya dipinjamkan kepada mereka demi generasi akan datang.

"Piala Dunia milik bola sepak. Ia tidak pernah dan tidak akan dijual," ujarnya.

Menurut laporan Sky Sports, boikot itu bermakna tiada pasukan kebangsaan di bawah UEFA akan menyertai mana-mana kejohanan FIFA selagi cadangan berkenaan tidak ditarik balik sepenuhnya dan FIFA memberi jaminan bahawa pemilikan swasta tidak akan dibenarkan dalam tadbir urus atau pertandingan anjurannya.

Dalam perkembangan sama, Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (CONCACAF) turut menyuarakan bantahan terhadap cadangan tersebut.

Bagaimanapun, badan itu tidak mengumumkan tindakan memboikot kejohanan FIFA, sebaliknya menyatakan kebimbangan terhadap proses cadangan yang didakwa tidak melalui semakan serta kelulusan badan tadbir urus FIFA.

Cadangan kontroversi itu timbul selepas FIFA mengumumkan rancangan menubuhkan FIFA Forward Enterprise (FFE), sebuah entiti baharu yang akan mengurus hak komersial termasuk penyiaran, penajaan, penjualan tiket dan pelesenan kejohanan FIFA.

Menerusi cadangan itu, FIFA merancang menjual pegangan minoriti dalam FFE kepada pelabur luar bagi mengumpulkan sehingga AS$4.2 bilion (kira-kira RM17.8 bilion), dengan nilai syarikat dianggarkan sekitar AS$20 bilion (RM84.8 bilion).

FIFA berkata, dana tersebut dijangka membolehkan lebih AS$10 bilion disalurkan kepada pembangunan bola sepak di seluruh dunia dalam tempoh empat tahun akan datang.

Bagaimanapun, cadangan berkenaan menerima bantahan hebat daripada pelbagai pihak yang berpendapat Piala Dunia tidak sepatutnya dijadikan produk pelaburan demi keuntungan komersial semata-mata.

Menurut Sky Sports, sekiranya rancangan itu diteruskan, ujian pertama boikot UEFA dijangka melibatkan aksi playoff kelayakan Piala Dunia Wanita 2027 yang dijadual berlangsung pada Oktober ini.

Sumber:Sky Sports
Intipati
  • UEFA mengumumkan boikot kejohanan FIFA jika cadangan pemilikan swasta Piala Dunia diteruskan.
  • Keputusan itu diluluskan sebulat suara oleh 55 negara anggota UEFA menerusi mesyuarat tergempar.
  • FIFA merancang menjual pegangan minoriti FFE kepada pelabur luar sehingga AS$4.2 bilion.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan