Urusan perkhidmatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, masih dalam proses untuk dimuktamadkan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata pihaknya mengambil perhatian dan menghargai pandangan masyarakat berhubung urusan perkhidmatan Mohd Shuhaily.
“KDN akan memastikan urusan tersebut dilaksanakan secara teratur mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, KDN menegaskan bahawa keutamaan kementerian adalah memastikan AKPS terus berupaya melaksanakan peranannya secara optimum demi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara.
“Secara umumnya, penubuhan AKPS yang baharu mencecah tahun kedua ini adalah untuk memperkukuh pengurusan kawalan dan perlindungan sempadan negara.
“Sebagai agensi penting yang berpegang teguh pada pengukuhan keselamatan sempadan, kelancaran urusan, perlindungan hasil negara serta integriti dan disiplin, keutamaan KDN adalah memastikan AKPS terus berupaya melaksanakan peranannya secara optimum demi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara.
“Dalam menguruskan hal ehwal perkhidmatan pegawai, KDN turut memberikan perhatian kepada kesinambungan operasi dan kelancaran pelaksanaan tugas di AKPS,” ujarnya.
Terdahulu, pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily didakwa atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan memohon untuk dibicarakan.

