Para penonton orkestra di sebuah teater di Rusia menyaksikan kemalangan ngeri melibatkan seorang pelakon opera semasa pertukaran set di atas pentas pada Sabtu, lapor Daily Mail.
Menurut portal itu, penonton pada awalnya menyangka kemalangan itu adalah salah satu persembahan sehinggalah melihat para pelakon menjadi panik dan terdengar jeritan ‘panggil ambulans, ada darah (di pentas)’.
Kemalangan itu dipercayai telah meragut nyawa Yevgeny Kulesh, 37 apabila sebuah prop menghempapnya semasa pertukaran set sedang berlangsung.
“Persembahan itu dihentikan serta merta dan para penonton diminta beredar,” kata wakil pengurusan teater dalam satu kenyataan, memetik Daily Mail.
Lapor portal itu, mangsa dipercayai pergi ke arah yang salah semasa prop tersebut diturunkan sekaligus memerangkapnya.
Malah, rakaman tular menunjukkan para pelakon meminta staf mengangkat prop yang menimpa mangsa, namun mangsa dilaporkan meninggal dunia sebelum ambulans tiba.
Tambah portal berkenaan, kejadian tersebut bukanlah pertama kali berlaku di teater terbabit. Pada 2013, seorang pemain violin dilaporkan maut selepas terjatuh ke dalam lubang orkestra di sana.
Sumber: Daily Mail
