Seperti yang kita tahu, fenomena luruan monsun yang mengakibatkan hujan berterusan kini sedang berlaku di Malaysia melibatkan negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung dan utara Sabah.
Keadaan cuaca buruk ini berkemungkinan menyebabkan fenomena kepala air dan bencana banjir di negeri-negeri terlibat. Malah, amaran banjir secara berperingkat juga telah dikeluarkan terhadap beberapa daerah, di Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Susulan hujan lebat berterusan ini, salah satu kawasan air terjun di Kelantan dikatakan telah dilanda kepala air berdasarkan perkongsian terkini secara live di TikTok oleh seorang pengguna, kira-kira jam 10 pagi tadi.
Kejadian tersebut yang dirakam oleh akaun @mohdadha17, memaparkan kepala air yang sedang mengganas dipercayai di Lata Berangin, Kuala Krai.
Menerusi video, kelihatan air turun dengan deras dan hampir melimpah keluar ke jalan diikuti dengan hujan lebat yang melanda di kawasan tersebut.
Video yang berdurasi 20 saat itu telah meraih lebih 200 ribu tontonan dengan 12 ribu tanda suka dan ratusan komen, hanya dalam tempoh 40 minit dimuat naik.
Rata-ratanya mendoakan keselamatan mereka yang berada di kawasan tersebut dan berharap tidak berlakunya sebarang musibah yang tidak diingini.
Sumber: TikTok @mohdadha17
