Polis Vietnam menahan 12 lelaki yang didakwa mencuri hampir 2,700 ekor kucing dalam serbuan pada waktu malam di kawasan perumahan sebelum membawa haiwan berkenaan untuk disembelih bagi tujuan makanan, menurut polis dan media kerajaan hari ini.
Antara barangan yang dirampas dalam siasatan terhadap sindiket yang didakwa mencuri kucing di Ho Chi Minh City ialah mesin mencabut bulu, perangkap kucing dan alat penimbang.
Pengambilan daging anjing dan kucing adalah dibenarkan di Vietnam, dengan banyak restoran secara terbuka mengiklankan hidangan berkenaan. Bagaimanapun, penjual diwajibkan mendapatkan sijil yang menunjukkan asal-usul haiwan tersebut.
Laporan media menyebut kucing yang dicuri boleh dijual kepada restoran pada harga sekurang-kurangnya 70,000 dong (AS$2.70) sekilogram.
Menurut polis dalam satu kenyataan, 12 lelaki berkenaan ditahan atas dakwaan mencuri harta benda dan mengaku “mencuri serta memperdagangkan kira-kira 2,700 ekor kucing daripada pelbagai jenis”.
Prosiding jenayah terhadap mereka dimulakan semalam, namun tidak dinyatakan bila kesemua suspek berkenaan ditahan.
Menurut media kerajaan, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu antara 11 malam hingga 4 pagi, dengan bergerak menaiki motosikal dalam kumpulan kecil di kawasan perumahan untuk mencuri kucing peliharaan.
Sindiket berkenaan mula dikesan pada Julai lalu selepas polis merampas 50 ekor kucing hidup, bersama 55 perangkap kucing, dua alat penimbang dan dua mesin mencabut bulu.
Setiap kumpulan dipercayai mampu mencuri antara empat hingga 10 ekor kucing setiap malam.
Awal tahun ini, polis di Ho Chi Minh City turut menahan 18 individu yang didakwa terbabit dalam dua sindiket pencurian kucing berasingan. - AFP


