Dalam dunia media sosial yang dipenuhi dengan pelbagai jenis kandungan setiap hari, sesuatu video perlu tampil berbeza untuk menarik perhatian pengguna.
Bukan sekadar rakaman yang cantik, cara video disunting juga memainkan peranan penting dalam membuatkan orang berhenti menatal dan menonton sehingga habis.
Menghasilkan suntingan video yang menarik bukan semudah menggabungkan beberapa klip dan meletakkan muzik latar.
Ia memerlukan kreativiti untuk menentukan konsep, pemilihan warna, susunan visual, transisi serta pelbagai elemen lain supaya setiap babak kelihatan lebih hidup dan mempunyai daya tarikan tersendiri.
Tidak hairanlah semakin ramai pencipta kandungan bereksperimen dengan idea yang lebih unik, termasuk menggunakan konsep creative editing atau crazy editing bagi menghasilkan video yang lain daripada biasa.
Wanita hasilkan VFX 'gempak'
Begitulah pendekatan seorang pengguna Threads @nuwairahlutfi yang mencuri perhatian selepas berkongsi hasil suntingan kreatif menggunakan aplikasi CapCut, dengan setiap rekaan tampil berbeza dan mempunyai identiti tersendiri.

Menariknya, idea untuk menghasilkan suntingan tersebut tidak datang daripada satu sumber sahaja.
Ada yang tercetus daripada imaginasi sendiri, ada yang mendapat inspirasi daripada pencipta kandungan kreatif, manakala sebahagiannya pula diolah selepas melihat pelbagai rujukan di Pinterest.
Guna konsep creative editing atau crazy editing
Dalam perkongsian tersebut, wanita berkenaan menjelaskan bahawa dia secara umumnya gemar menggunakan konsep creative editing atau crazy editing ketika menghasilkan kandungan.
“Reference tu random sangat sometimes. Ada yang comes from my mind, ada refer pada creative creators dan modify-modify, ada refer pada Pinterest,” katanya.


Menurutnya, setiap rujukan tidak semestinya ditiru secara terus, sebaliknya diubah suai mengikut idea dan gaya tersendiri.
Pendekatan itu membolehkan hasil suntingannya kelihatan lebih unik, selain memberi ruang untuk bereksperimen dengan warna, komposisi, elemen visual serta kesan khas yang terdapat dalam CapCut.
Ambil masa lebih dua Jam
Menariknya, proses menghasilkan suntingan tersebut bukan dilakukan dalam tempoh yang singkat.
Menurut perkongsian wanita berkenaan, dia mula mengedit pada jam 12 tengah hari dan siap sepenuhnya pada 2.34 petang.
Hasil akhir turut menampilkan karakter Eren Yeager daripada siri anime Attack on Titan, yang digabungkan ke dalam konsep VFX kreatif tersebut.

Tempoh lebih dua jam itu menunjukkan ketelitian yang diperlukan untuk menyusun setiap elemen visual, kesan khas dan pergerakan supaya hasil akhirnya kelihatan lebih kemas serta menarik.
Reaksi netizen
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen kagum dengan hasil VFX yang dihasilkan menggunakan CapCut, malah ada yang menyifatkan hasil suntingan tersebut seakan-akan dibuat menggunakan perisian profesional.
“Gaya ini mengingatkan saya kepada Spider-Man: Across the Spider-Verse,” komen seorang netizen.
“So cool kak. Karya ini layak mendapat banyak likes dan perhatian, terutama dalam era lambakan kandungan AI, “ kata seorang lagi.
“Tahap edit dia memang pro. Guna CapCut pun boleh buat suntingan macam After Effects,” komen pengguna lain.

