KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Seorang wanita warga Malaysia ditahan pihak berkuasa India kerana cuba menyeludup 15 kilogram kanabis bernilai kira-kira 52.5 juta rupee (RM2.2 juta) di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi pada 4 Sept lepas.
Jabatan Kastam Delhi (Lapangan Terbang & Am) dalam kenyataan di X memaklumkan penumpang berkenaan yang tiba dari Kuala Lumpur menaiki penerbangan OD-205 itu ditahan di Terminal 3 berdasarkan pemeriksaan bersasar berasaskan profil.
“Dia diarahkan ke laluan hijau untuk pemeriksaan lanjut. Pemeriksaan terhadap beg beroda miliknya membawa kepada penemuan 30 peket plastik mengandungi bahan disyaki kanabis seberat 15,015.5 gram (berat bersih),” menurut jabatan itu.
Suspek ditahan mengikut Seksyen 43(B) Akta Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik (NDPS) 1985, manakala dadah itu dirampas mengikut Seksyen 43(A) akta sama.
Kes itu turut direkodkan mengikut Seksyen 8, 20, 23 dan 29 akta sama, berkaitan pemilikan, pengangkutan, pengimportan dan konspirasi membabitkan bahan narkotik secara haram.


