Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Wanita Warga Emas Rentung Dalam Kebakaran Di Tumpat

Gambar: BERNAMA

TUMPAT, 2 Jun (Bernama) — Seorang wanita warga emas berusia 76 tahun ditemukan rentung selepas rumahnya dijilat api di Jalan Lama Wakaf Bharu, di sini awal pagi ini.

Wanita itu, Zainab Abdul Rahman, dikatakan masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil barang tanpa sempat dihalang oleh ahli keluarganya sebelum terperangkap.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Kota Bharu, Penguasa Kanan Bomba II, Syobirin Abd Kadir berkata mayat wanita itu ditemukan rentung di bahagian ruang tamu kira-kira 5.50 pagi selepas api berjaya dipadamkan.

Katanya sebaik menerima panggilan pada 4.32 pagi, sebanyak 28 anggota dari tiga balai iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim, Tumpat dan Wakaf Bharu bergegas ke lokasi kejadian dan api berjaya dikawal dalam 12 minit.

“Seorang anak mangsa yang berusia 30-an turut cedera di bahagian tangan dan mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, menurut jiran mangsa yang enggan dikenali, kebakaran itu disedari kira-kira 4.30 pagi apabila seorang daripada cucu mangsa menjerit memberitahu rumah mereka terbakar.

Katanya kesemua penghuni rumah iaitu mangsa bersama anak dan empat cucunya sudah keluar dan menyelamatkan diri ke rumahnya.

“Bagaimanapun, mangsa secara tiba-tiba masuk semula ke rumahnya dipercayai untuk mengambil barang dan tidak sempat dihalang sebelum terperangkap di dalam rumah yang 95 peratus dibina daripada kayu” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

— BERNAMA