Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

WCE Dijangka Disambung Dari Banting Ke Masjid Tanah - Ahmad Zahid

WCE
Kredit: Facebook Zahid Hamidi

ALOR GAJAH, 27 Okt (Bernama) -- Penyambungan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Banting, Selangor ke Masjid Tanah antara perkara yang dibincangkan Jemaah Menteri, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata jika direalisasikan, jajaran baharu lebuh raya berkenaan bukan sahaja mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di kawasan yang terlibat dengan projek itu.

“Sekarang ini jajaran yang telah siap adalah dari Taiping ke Banting, Selangor. Selepas ini, insya-Allah daripada Banting sampai ke Masjid Tanah, sampai ke Batu Pahat, sampai ke Pontian, ia akan melalui Masjid Tanah.

“Datuk Rauf (Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh)… ini perbincangan kita dulu. Lebuhraya Pantai Barat bukan sahaja dari Pontian, Batu Pahat dan Muar, ia akan sampai ke Masjid Tanah ini. Kita mulakan daripada Masjid Tanah ke Banting terlebih dahulu, insya-Allah,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Masjid Tanah di sini malam ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Melaka dilaporkan pernah memohon pertimbangan Kerajaan Persekutuan bagi pembangunan jajaran baharu WCE dari Banting melalui Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum memasuki Melaka dan diteruskan ke Johor.

Cadangan perluasan lebuh raya itu dilihat berpotensi meningkatkan akses perhubungan, merangsang aktiviti perindustrian dan pelancongan serta membuka peluang pertumbuhan ekonomi baharu kepada penduduk setempat.

-- BERNAMA

Intipati
  • Ahmad Zahid berkata penyambungan WCE dari Banting ke Masjid Tanah dibincangkan Jemaah Menteri.
  • Beliau berkata jajaran baharu itu dijangka mengurangkan kesesakan dan memacu pertumbuhan ekonomi setempat.
  • Melaka sebelum ini memohon pertimbangan Persekutuan bagi jajaran WCE melalui Port Dickson ke Johor.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan