Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

WCE Uji Kesiapsiagaan Hadapi Kecemasan Menerusi Simulasi Kemalangan Tiga Kenderaan

SIMULASI
Kredit: West Coast Expressway Sdn. Bhd. (WCE)

West Coast Expressway Sdn. Bhd. (WCE) melaksanakan simulasi kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM216.6 arah utara, antara Persimpangan Sitiawan Utara dan Persimpangan Changkat Chermin, kira-kira jam 10.25 pagi hari ini.

Menurut WCE dalam satu kenyataan hari ini, simulasi berkenaan dilaksanakan bagi menguji tahap kesiapsiagaan, koordinasi serta keberkesanan tindak balas agensi terlibat dalam menghadapi situasi kecemasan di lebuh raya.

Kredit: West Coast Expressway Sdn. Bhd. (WCE)

Katanya, latihan itu membabitkan kerjasama pasukan Emergency Response Team (ERT) WCE bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk pasukan HAZMAT, Hospital Manjung, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Turut terlibat ialah rakan logistik, Swift Integrated Logistics Sdn Bhd (SILS) dan Air Liquide Malaysia (ALM),” menurut kenyataan itu.

WCE berkata, pasukan ERT syarikat berkenaan bersama PDRM, JBPM dan perkhidmatan ambulans digerakkan ke lokasi bagi menjalankan simulasi operasi menyelamat, pengurusan mangsa serta pengendalian insiden.

Ujarnya, sebahagian laluan arah utara turut ditutup sementara bagi membolehkan simulasi kerja menyelamat, pengalihan kenderaan dan kawalan keselamatan dijalankan.

Kredit: West Coast Expressway Sdn. Bhd. (WCE)

“Laluan kontra turut diaktifkan bagi menguji keupayaan pengurusan serta pengaliran trafik ketika berlaku insiden kecemasan,” katanya.

Menurut WCE, simulasi itu sengaja tidak dihebahkan kepada umum lebih awal dan dilaksanakan sebagai Latihan Mengejut (Unannounced Drill) bagi membolehkan tahap kesiapsiagaan, kecekapan masa respons serta koordinasi sebenar semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan diuji dalam keadaan lebih realistik.

Jelasnya, pendekatan itu penting bagi memastikan semua prosedur tindak balas kecemasan sentiasa berada pada tahap optimum dan dapat dilaksanakan dengan pantas serta berkesan sekiranya berlaku insiden sebenar.

Dalam pada itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya memperlahankan kenderaan, mematuhi arahan petugas di lokasi serta merujuk paparan Variable Message Sign (VMS) untuk mendapatkan maklumat trafik terkini.

“Pengguna juga boleh menghubungi WCE Infoline di talian 1700-81-6600 sekiranya memerlukan bantuan atau maklumat berkaitan perjalanan,” katanya.

WCE turut merakamkan penghargaan kepada semua pengguna lebuh raya atas kerjasama dan kesabaran yang diberikan sepanjang pelaksanaan simulasi berkenaan.

Intipati
  • WCE mengadakan simulasi kemalangan tiga kenderaan di KM216.6 arah utara pagi ini.
  • Latihan itu menguji kesiapsiagaan, koordinasi agensi dan keberkesanan tindak balas kecemasan lebuh raya.
  • Sebahagian laluan ditutup sementara, manakala laluan kontra diaktifkan bagi menguji pengurusan trafik.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan