Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

WFP Bakal Hentikan Bantuan Bulanan Kepada 500,000 Penduduk Gaza Akibat Kekurangan Dana

Bantuan Bulanan
Kredit: AFP

GENEVA - Program Makanan Sedunia (WFP) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin memaklumkan bahawa pihaknya akan menghentikan bantuan bulanan kepada 500,000 penduduk Gaza akibat kekurangan dana, meskipun keperluan kemanusiaan di wilayah Palestin itu masih mendesak.

Bagaimanapun, seramai 1.1 juta lagi penduduk Gaza, iaitu kira-kira separuh daripada jumlah penduduk wilayah itu, masih akan menerima bantuan makanan atau wang tunai setiap bulan daripada agensi PBB berkenaan, namun dalam jumlah yang dikurangkan berbanding sebelum ini.

WFP berkata usaha yang dilaksanakannya telah membantu mengurangkan kesan kebuluran yang melanda Gaza pada tahun lalu, meskipun penilaian mengenai keadaan itu dipertikaikan oleh Israel.

Bagaimanapun, WFP memberi amaran bahawa keadaan di wilayah tersebut masih belum pulih sehingga membolehkan bantuan kemanusiaan dikurangkan atau dihentikan.

“Bantuan ini merupakan talian hayat kepada penduduk Gaza. Namun, ketika kami sepatutnya dapat mengekalkan dan memperluaskan bantuan tersebut, kami sebaliknya terpaksa mengurangkannya.

“Dan ini bukan kerana kami tidak mempunyai akses kemanusiaan untuk menghantar makanan, tetapi kerana kami tidak mempunyai dana,” kata Pengarah WFP bagi negara berkenaan, Shaun Hughes kepada AFP di pejabat agensi itu di Baitulmaqdis Timur.

Menurut Hughes, berdasarkan penilaian terkini, kira-kira 1.4 juta penduduk atau dua pertiga daripada jumlah penduduk Gaza masih berdepan masalah ketidakjaminan makanan akut dan memerlukan bantuan kemanusiaan untuk terus hidup.

Penduduk Gaza bimbang bekalan makanan keluarga terjejas

Kredit: AFP

Penduduk Palestin di Gaza, yang hampir keseluruhan populasinya telah dipindahkan sekurang-kurangnya sekali akibat konflik, meluahkan kebimbangan terhadap keputusan mengurangkan bantuan berkenaan.

Samaher al-Najjar, 45, dari Khan Yunis di selatan Gaza berkata bahawa perkara yang paling sukar bagi seorang ibu ialah melihat anak-anaknya kelaparan, sedangkan dia tidak mampu menyediakan makanan untuk mereka.

“Kami tinggal di dalam khemah dan tidak mempunyai wang untuk membeli semua keperluan,

“Kami bergantung pada bantuan untuk mendapatkan sebahagian daripada makanan kami,” ujarnya lagi.

Kredit: AFP

WFP sebelum ini dapat membawa masuk lebih banyak bantuan kemanusiaan selepas gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat mula berkuat kuasa setahun lalu.

Sebelum pengurangan tersebut, antara 1.5 juta hingga 1.8 juta penduduk Gaza menerima bantuan WFP setiap bulan.

Selain mengurangkan bilangan penerima bantuan, WFP turut akan mengurangkan kuantiti bantuan makanan yang diagihkan.

Menurut nota operasi WFP, keluarga yang menerima bantuan makanan kini hanya akan mendapat satu bungkusan makanan berbanding dua sebelum ini, selain menerima beg tepung gandum yang lebih kecil.

Sementara itu, sebanyak 75,000 keluarga yang menerima bantuan tunai akan mengalami pengurangan jumlah bantuan bulanan daripada 1,250 shekel (AS$400) kepada 750 shekel (AS$240).

WFP kekurangan dana

Untuk pengetahuan, WFP memperoleh pembiayaan daripada kerajaan pelbagai negara serta penderma swasta.

Bagaimanapun, agensi tersebut mengalami kemerosotan sumber kewangan yang ketara, termasuk selepas Presiden Donald Trump kembali berkuasa di Amerika Syarikat dan mengurangkan sumbangan kepada agensi PBB serta bantuan dua hala secara drastik.

Menurut WFP, pihaknya memerlukan kira-kira AS$450 juta bagi membiayai operasi kemanusiaan di Gaza dan Tebing Barat untuk tempoh enam bulan akan datang.

Namun, sepanjang 2026, agensi itu hanya menerima kira-kira separuh daripada jumlah pembiayaan yang lazimnya diperoleh bagi wilayah Palestin.

Pada September lalu, WFP turut mengurangkan separuh jumlah penerima bantuan di Tebing Barat, wilayah yang diduduki Israel sejak 1967, daripada 400,000 kepada 200,000 orang.

Intipati
  • WFP akan mengurangkan bantuan bulanan kepada 500,000 penduduk Gaza akibat kekurangan dana.
  • Sebanyak 1.4 juta penduduk Gaza masih mengalami ketidakjaminan makanan akut dan memerlukan bantuan.
  • WFP memerlukan kira-kira AS$450 juta untuk operasi Gaza dan West Bank enam bulan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan