Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Wira Kecil Yang Dikenang, Pengebumian Khizir Derbichev Dihadiri Ribuan Orang

Khizir Derbichev
Kredit: X @rajdianos, @kavkazcenter17 & Instagram @style_center_ri

Wira Kecil Yang Dikenang, Pengebumian Khizir Derbichev Dihadiri Ribuan Orang

Tidak semua wira memakai uniform, mahupun berbadan sasa. Ada juga yang hadir dalam tubuh kecil, tetapi dengan jiwa yang begitu besar.

Itulah kisah menyayat hati seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang sanggup mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan seorang rakan. Usianya 'setahun jagung', tapi keberaniannya menyentuh hati ramai.

Lebih mengharukan, pemergian wira cilik itu bukan sahaja ditangisi keluarga. Malah, turut dirasai ribuan penduduk yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepadanya.

Kredit: Khizir Derbichev --Foto X @rajdionos

Terjun ke sungai demi selamatkan rakan

Tragedi itu berlaku pada 15 Jun lalu di perkampungan Yandare, wilayah Ingushetia di Rusia.

Difahamkan, Khizir Derbichev sedang bermain berhampiran sebatang sungai bersama dua orang rakannya sebelum salah seorang daripada mereka tiba-tiba dihanyutkan arus deras.

Tanpa berfikir panjang, Khizir terus terjun ke dalam sungai untuk membantu rakannya. Dia bahkan berjaya menyelamatkan rakan tersebut daripada terus dihanyutkan air.

Malangnya, ketika rakannya sudah selamat, Khizir pula gagal menyelamatkan dirinya sendiri. Kanak-kanak itu akhirnya dihanyutkan arus deras sebelum hilang daripada pandangan.

Puluhan ribu orang turun padang mencari Khizir

Kehilangan Khizir menggerakkan satu operasi mencari dan menyelamat berskala besar yang luar biasa.

Menurut perkongsian yang tular di media sosial, dipercayai puluhan ribu orang terdiri daripada anggota penyelamat, sukarelawan serta penduduk tempatan berganding bahu menyertai operasi pencarian.

Operasi tersebut berlangsung selama lebih lapan hari, dengan harapan agar Khizir dapat ditemui.

Rakaman video yang tular di media sosial turut memaparkan ribuan individu memenuhi kawasan pencarian demi mencari seorang kanak-kanak yang dianggap sebagai "wira".

Akhirnya ditemukan...

Selepas lebih seminggu pencarian, jasad Khizir akhirnya ditemukan kira-kira 10 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Penemuan itu menamatkan operasi mencari yang mendapat perhatian masyarakat di seluruh wilayah berkenaan.

Walaupun harapan untuk menemui Khizir dalam keadaan selamat tidak kesampaian, keberaniannya terus menjadi sebutan ramai.

Ribuan hadir beri penghormatan terakhir

Jika rakaman operasi pencarian membuatkan ramai sebak, video ketika pengebumiannya pula lebih meruntun jiwa.

Rakaman yang tular memperlihatkan lautan manusia memenuhi kawasan pengebumian bagi mengiringi perjalanan terakhir Khizir.

Ribuan penduduk hadir untuk memberikan penghormatan kepada wira kecil itu.