Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Yayasan Akalbudi: Ahmad Zahid, Peguam Negara Dibenarkan Rayu Keputusan Mahkamah Rayuan

AKALBUDI
Kredit: Bernama

PUTRAJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Peguam Negara untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan pendakwaan untuk menghentikan kes rasuah Yayasan Akalbudi.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Ketua Hakim Negara Datuk Seri Hashim Hamzah serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali memutuskan bahawa kes itu menimbulkan isu perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam dan memerlukan penjelasan serta keputusan muktamad oleh Mahkamah Persekutuan.

Ketika membacakan keputusan sebulat suara itu, Hakim Hashim berkata kes berkenaan melibatkan ambang untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman apabila budi bicara pendakwaan Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dicabar.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi telah menggunakan ambang dua peringkat berdasarkan tafsirannya terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Sundra Rajoo, manakala Mahkamah Rayuan pula, menggunakan ujian satu peringkat.

“Ujian ini mesti dilaksanakan dengan penuh disiplin, berhati-hati dan penuh batasan apabila melibatkan kuasa pendakwaan Peguam Negara di bawah Perkara 145(3),” katanya.

Hakim Hashim berkata Ahmad Zahid dan Peguam Negara masing-masing telah memenuhi syarat ambang di bawah Seksyen 96(a) dan Seksyen 96(b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk mendapatkan kebenaran.

Beliau berkata mahkamah membenarkan empat persoalan undang-undang yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri dan menolak satu, manakala bagi Peguam Negara, mahkamah membenarkan kedua-dua persoalan undang-undang yang dikemukakan.

Satu daripada persoalan berkenaan ialah sama ada, dalam kes yang melibatkan cabaran terhadap keputusan Pendakwa Raya dalam menjalankan kuasanya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, ambang dua peringkat perlu dipenuhi sebelum kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman dapat diberikan.

Persoalan lain ialah sama ada, apabila mahkamah jenayah membuat perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) berikutan permohonan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 245(1) Kanun Tatacara Jenayah, remedi semakan kehakiman terletak pada permohonan Pendakwa Raya sepanjang tempoh perintah DNAA berkuat kuasa.

Pada 7 Mei lepas, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Badan Peguam untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara pada 4 Sept 2023 yang menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 yang menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu.

Ahmad Zahid, yang merupakan responden kedua yang dicadangkan dalam prosiding semakan kehakiman itu, kemudian memfailkan permohonan pada 25 Mei lepas untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan. Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar pula memfailkan permohonan berasingan untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Badan Peguam memohon deklarasi daripada Mahkamah Tinggi bahawa keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, yang melepaskan dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan Yayasan Akalbudi adalah terbatal dan tidak sah.

Mahkamah Tinggi membenarkan DNAA itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara berhasrat menghentikan prosiding itu terhadap Ahmad Zahid bagi meneliti bukti-bukti baharu.

Semasa prosiding berlangsung, Ahmad Zahid diwakili pasukan 11 peguam yang diketuai oleh Datuk Hisyam Teh Poh Teik, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi dan Peguam Persekutuan Imtiyaz Wizni Aufa Othman mewakili Peguam Negara.

Badan Peguam pula diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai oleh Datuk S. Ambiga dan Steven Thiru.

-- BERNAMA