Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Yayasan MR D.I.Y. Kumpul RM2.47 Juta Bantu Usaha Berkaitan Kanser, Kesihatan Jantung

Yayasan MR D.I.Y. mengumpul kira-kira RM2.47 juta dalam bentuk sumbangan kewangan dan barangan menerusi penganjuran sulung Him & Her Health Run 2026 bagi menyokong usaha berkaitan kanser serta kesihatan jantung.

Menurut yayasan itu dalam kenyataan, siri larian berkenaan menghimpunkan 12,050 peserta di Pulau Pinang, Kuching dan Kuala Lumpur, selain menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat.

Lapan organisasi dan dana akan menerima manfaat daripada inisiatif tersebut, iaitu Cancer Research Malaysia, Yayasan Jantung Malaysia, Sarawak Children’s Cancer Society, Persatuan Sokongan Kanser Kanak-kanak (CAKNE), Prostate Cancer Society Malaysia dan Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (KIDS).

Turut menerima manfaat ialah Urological Cancer Trust Fund di Universiti Malaya serta B40 Breast Cancer Diagnostic Fund di Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Menurut kenyataan itu, sumbangan berkenaan akan menyokong rawatan dan bantuan kewangan, kebajikan pesakit, sokongan kepada keluarga serta penjaga, selain pendidikan, kesedaran dan penyelidikan berkaitan kanser serta penyakit jantung.

Sumbangan daripada peserta dan penaja korporat berjumlah RM1.96 juta.

Antara penaja kategori Platinum dan Emas ialah IOI Property Group Foundation, CIMB Bank Berhad, Ho Lao Engineering Sdn Bhd, Kumon Education (Malaysia) Sdn Bhd dan Shin Yang Shipping Sdn Bhd.

Siri larian sejauh lima kilometer itu bermula di Pulau Pinang pada 17 Mei dengan penyertaan 2,550 peserta, diikuti Kuching pada 19 Julai yang menghimpunkan 3,500 peserta.

Acara kemuncak berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur pada 17 Oktober dengan penyertaan 6,000 peserta.

Pelepasan peserta bagi larian terakhir itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Chua Choon Hwa.

Selain menyertai larian, peserta turut mendapat akses kepada pemeriksaan kesihatan, termasuk saringan kanser prostat, bagi membantu mereka memahami keperluan kesihatan masing-masing.

Menurut yayasan itu, aktiviti berkenaan turut menekankan kepentingan pemeriksaan kesihatan berkala dan pengesanan awal.

Yayasan MR D.I.Y. memaklumkan pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan komuniti serta rakan korporat bagi menggalakkan gaya hidup lebih sihat dan menyokong individu serta keluarga yang berdepan cabaran kesihatan.

Ditubuhkan pada 2023 sebagai cabang kebajikan Kumpulan MR D.I.Y., yayasan itu memberi tumpuan kepada empat teras utama, iaitu komuniti, pendidikan, alam sekitar serta seni dan budaya.

Intipati
  • Yayasan MR D.I.Y. mengumpul kira-kira RM2.47 juta melalui Him & Her Health Run 2026.
  • Larian lima kilometer itu menghimpunkan 12,050 peserta di Pulau Pinang, Kuching dan Kuala Lumpur.
  • Lapan organisasi dan dana akan menerima manfaat bagi rawatan, kebajikan, kesedaran dan penyelidikan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan