Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lawatan mengejut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ke Sekolah Menengah Sains Segamat (SESS) semalam bertukar menjadi momen penuh ceria apabila gelagat spontan seorang pelajar yang meminta tandatangannya pada buku milik sendiri mencuri perhatian.
Menurut Fadhlina, pelajar berkenaan menunjukkan tandatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah diperoleh terlebih dahulu sebelum meminta beliau menurunkan tandatangan di sebelahnya.
“YB, tengok saya dapat sign PM. YB sign sebelah ni ya,” katanya berkongsi detik itu menerusi hantaran di Facebook.
Fadhlina berkata, beliau bergegas ke sekolah berkenaan selepas menerima makluman bahawa terdapat sebahagian pelajar kurang sihat memandangkan ketika itu beliau berada berhampiran kawasan Segamat.
Katanya, suasana di sekolah menjadi gamat seketika sebaik beliau tiba ketika para pelajar sedang menikmati minum malam.
“Seperti biasa, apabila bertemu dengan anak-anak, ada sahaja cerita dan permintaan mereka yang mencuit hati,” ujarnya.
Menurut beliau, selain teruja menunjukkan tandatangan Perdana Menteri, para pelajar turut berkongsi pelbagai harapan termasuk meminta didoakan kejayaan dalam pertandingan STEM, istiqamah dalam penulisan jurnal al-Quran serta kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau berkata, seorang pelajar turut berseloroh memintanya menyampaikan jemputan kepada Perdana Menteri untuk hadir merasmikan sekolah berkenaan.
“YB boleh minta PMX datang rasmikan sekolah kami? Bagitahu Aiman minta tolong datang,” katanya mengimbas permintaan pelajar terbabit.
Fadhlina turut berkongsi bahawa ada pelajar menawarkan untuk mempersembahkan lagu oleh kumpulan muzik sekolah selain mencadangkan agar lebih ramai guru generasi Z ditempatkan di sekolah itu.
Katanya, beliau tersentuh dengan kasih sayang, adab dan rasa hormat yang ditunjukkan para pelajar sepanjang lawatan tersebut.
Dalam lawatan sama, beliau turut meninjau asrama putera dan puteri bagi memastikan aspek keselamatan serta kebersihan berada pada tahap terbaik.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati keadaan keseluruhan sekolah serta kebajikan pelajar berada dalam keadaan baik.
Lebih menyentuh hati, beliau turut meluangkan masa bersama pelajar menghabiskan bacaan Surah Al-Mulk sebelum mereka masuk tidur.
“Ketika duduk seketika menghabiskan Al-Mulk bersama anak-anak, saya diselimuti rasa syukur dan terharu.
“Anak-anak tidur dalam dakapan kalimah Allah yang pastinya dapat melindungi mereka dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pentadbir dan guru-guru SESS atas usaha membentuk sahsiah serta karakter pelajar dengan baik.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka berada dalam keadaan selamat dan dijaga dengan baik sepanjang berada di sekolah.