Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Zeekr Lancar Zeekr X 2026, Harga Bermula RM158,800

ZEEKR X
Gambar: Haziq Hakimi/ Siakap keli

Zeekr Lancar Zeekr X 2026, Harga Bermula RM158,800

Zeekr Intelligent Technology Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model baharu Zeekr X 2026 dengan harga bermula RM158,800 bagi varian Premium pacuan roda belakang (RWD) dan RM175,800 bagi varian Flagship pacuan semua roda (AWD).

Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu berkata, pelancaran model itu hadir susulan sambutan luar biasa yang diterima ketika dipamerkan pada Malaysia Autoshow 2026 baru-baru ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada pelancaran rasmi model baharu Zeekr X 2026 di sini, hari ini.

Menurutnya, Zeekr X tampil sebagai antara model paling menonjol dalam barisan produk Zeekr menerusi reka bentuk premium, karakter moden serta versatiliti untuk kegunaan harian.

Zeekr X Premium RWD dan Zeekr X Flagship AWD

“Zeekr X adalah sebuah kenderaan yang dibangunkan khusus untuk pemandu yang mahukan crossover kompak, lincah dan mewah tanpa kompromi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Produk Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Loh Yan Teng berkata, Zeekr X 2026 dibangunkan berteraskan tiga elemen utama iaitu reka bentuk, prestasi dan keselamatan.

Katanya, model itu kini hadir dengan tiga pilihan warna baharu iaitu merah jambu, hitam dan hijau khaki matte selain dilengkapi ciri premium seperti pintu automatik hadapan, sistem pencahayaan ambien kristal, peti sejuk pintar serta paparan tengah bersaiz 14.6 inci.

Menurut beliau, dari sudut prestasi, varian Premium kini menghasilkan kuasa 250kW dengan jarak perjalanan sehingga 445 kilometer (WLTP), manakala varian Flagship AWD menawarkan kuasa 365kW bersamaan 490hp dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.7 saat.

Gambar Haziq hakimi/ Siakap Keli

Tambahnya, kedua-dua varian menggunakan bateri 66kWh dan menyokong pengecasan pantas DC dari 10 hingga 80 peratus dalam tempoh hanya 20 minit.

Dalam pada itu, Ketua Jualan Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Chen Harn Sern berkata, setiap pembelian Zeekr X 2026 didatangkan dengan jaminan kenderaan selama lima tahun atau 150,000 kilometer serta jaminan bateri voltan tinggi selama lapan tahun atau 160,000 kilometer.

Beliau berkata, pelanggan turut menikmati perkhidmatan sambungan digital percuma selama setahun dengan 6GB data sebulan serta pilihan pakej pembiayaan eksklusif.

Gambar Haziq Hakimi/ Siakap Keli

Katanya, bagi pelanggan yang tidak memilih pakej pembiayaan, Zeekr menawarkan pengecas wallbox 22kW dan pengecas mudah alih secara percuma.

Pelancaran Zeekr X 2026 dilihat mengukuhkan lagi kedudukan jenama itu dalam segmen kenderaan elektrik premium di Malaysia, khususnya bagi pengguna urban yang mengutamakan gaya hidup moden, teknologi dan prestasi tinggi.