Siakap Keli

Didapati Berbelanja Berlebihan, Kerajaan Perak Pecat 7 Pegawai Eksekutif Syarikat GLC

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mengesahkan bahawa kerajaan negeri Perak di bawah Pakatan Harapan telah memecat 7 pegawai eksekutif sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dilantik di bawah pemerintahaan kerajaan terdahulu setelah didapati berbelanja melebihi yang sepatutnya.

Pemecatan kesemua 7 pegawai itu dibuat susulan perletakkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif  (CEO) syarikat berkenaan.  Tambahnya, pemecatan ini menjimatkan sebanyak RM150,000 sebulan iaitu kira-kira RM1.6 juta setahun.

“Apa yang saya nampak ada yang tidak masuk akal kerana syarikat itu pun bukan buat untung yang banyak tetapi mempunyai  perbelanjaan  dan pegawai yang tidak perlu.

“Dan perkara ini kita terpaksa warisi atau hadapi sekiranya saya ambil pendekatan mengecilkan perbelanjaan  saya terpaksa memecat begitu ramai pekerja dan mereka hilang pendapatan,” katanya kepada pemberia selepas hadir pada majlis Tambun Berhari Raya bersama PH di sini hari ini.

“Syarikat GLC yang mana, tidak mahu saya sebutkan sehingga saya selesaikan masalah ini.

“Seperti dalam manifesto PH juga banyak perkara yang kita akan bentang dalam dewan (Dewan Undangan Negeri), jadi ini akan menjadi pengetahuan umum akhirnya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata barisan exco kerajaan Perak akan menggunakan kenderaan yang sama dipakai oleh exco di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Saya mengambil keputusan untuk tidak membeli apa-apa kereta baru tahun ini, malah nanti akan ada pengumuman mungkin ada lelongan kereta daripada GLC kerana banyak kereta yang tak perlu sebenarnya.

“Untuk peringkat kerajaan negeri bagi barisan exco sahaja memang tiada peruntukan  membeli kereta tahun ini tapi tahun depan, kita akan lihat keadaan kereta itu balik,” katanya. – Bernama

Nur Farra