Siakap Keli

Komik ‘Kampung Boy’ Diterbit Dalam Bahasa Sepanyol, Menjadikannya Bahasa Yang Ke-15 Diterjemah

40 tahun menggembirakan kanak-kanak dengan gelagat serta budaya orang Melayu, kartun animasi ‘Kampung Boy’ terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Sepanyol, bahasa ke-15 untuk komik ikon Malaysia ini.

Duta besar Malaysia ke Sepanyol, Zainal Abidin Bakar memberitahu edisi Sepanyol ini akan mempromosikan kepelbagaian budaya Malaysia dalam kalangan komuniti yang berbahasa Sepanyol di seluruh dunia.

“Buku itu membuka ruang kepada rakyat Sepanyol untuk memahami lebih lanjut mengenai sejarah dan budaya Malaysia,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

Ditulis oleh kartunis terkemuka Malaysia, Datuk Mohammad Nor Khalid (lebih dikenali sebagai Lat),  “Kampung Boy ”, adalah autobiografi pengalamannya sebagai anak muda yang dibesarkan di sebuah kampung di Perak pada tahun 1950-an.

”Kira-kira separuh daripada 1,000 buku yang diterjemah dalam bahasa Sepanyol telah dijual,” kata Zainal pada satu majlis di kedutaan di Madrid baru-baru ini.

Kartun ini mula diterbitkan pada tahun 1979 menerusi sketsa hitam putih dengan penggunaan bahasa yang mudah difahami.  Kartun ini seterusnya masuk ke layar kaca apabila ia diterbitkan menjadi sebuah siri animasi.

“Lat antara personaliti budaya yang diminati tidak kira golongan muda mahupun tua di Malaysia. Populariti serta penerimaan luar biasa rakyat Malaysia jelas digambarkan menerusi fakta, bahawa semua kaum dapat menerima mesej serta nilai positif yang diselitkan dan dicampur aduk dengan jenaka.

“Hasil nurkilan Lat turut diabadikan pada setem pos dan pesawat Air Asia, yang menggunakan wataknya untuk mempromosikan Malaysia ke serata dunia,” kata Zainal.

Sementara itu, profesor Universiti Cordoba, Raul Ramirez yang menulis prolog untuk edisi Sepanyol berkata, “Kampung Boy ‘mempunyai kaitan rapat dengan Sepanyol”.

“Perkara sama, iaitu penghijrahan penduduk dari kawasan luar bandar ke bandar, berlaku di kedua-dua negara pada dekad yang sama. Tiada perbezaan ketara antara kita, jarak hubungan juga tidak jauh, kemanusiaan itu sama,” katanya. – Bernama

Nur Farra