Siakap Keli

Hujan Beterusan, Doktor Tawar Diri Tinggal Dengan Mangsa, Mungkin Terperangkap Selama 4 Bulan

Dua orang doktor yang berhati mulia sanggup menawarkan diri untuk bersama-sama dengan 13 mangsa yang terperangkap di dalam sebuah gua di Chiang Rai selama 4 bulan, sekiranya air yang memenuhi gua itu gagal dikeringkan sekaligus menghalang operasi menyelamat yang dirancang dijalankan.

Dalam pada itu, media tempatan turut melaporkan bahawa kesemua mangsa menjelajah gua tersebut untuk melaksanakan satu ritual pemulaan.

Semalam, media melaporkan kesemua mangsa sudah pun berjaya ditemui oleh dua pakar selaman gua berbangsa British, namun sehingga kini dan mungkin untuk jangka masa yang lama, kesemua mangsa perlu bertahan terlebih dahulu di tempat mereka ketika pasukan penyelamat terdesak untuk membentangkan pelan menyelamat yang terbaik.

Ketika ini, wujud kebimbangan dalam kalangan pasukan penyelamat berhubung ramalan cuaca dimana hujan dijangka akan berterusan untuk beberapa hari dan air berterusan memasuki ruang gua tersebut. Jika terjadi, sebahagian mangsa yang tidak tahu berenang mungkin terpaksa menunggu sehingga tamat musin monsun pada Oktober, sebelum boleh diselamatkan.

Dengan wujudnya kebimbangan tersebut, dua orang doktor daripada Tentera Laut Diraja Thailand secara sukarela menawarkan diri untuk kekal bersama-sama dengan semua mangsa selama yang mungkin untuk memberikan rawatan yang sepatutnya kepada mangsa-mangsa.

Bagaimanapun, beberapa pegawai penyelamat pada Selasa memaklumkan kepada media bahawa mereka sedang menanti kesemua mangsa pulih kembali selepas sembilan hari terperangkap untuk ‘diselamatkan’ dalam beberapa hari akan datang.

Dua orang penyelam gua British itu, John Volanthen dan Rick Stanton adalah sebahagian daripada pasukan penyelamat beberapa negara yang melakukan selaman di dalam gua yang sempit dan keruh itu sebelum menemui kesemua mangsa dalam satu bahagian kompleks gua.

Menurut Ben Reymenants, seorang penyelam berbangsa Belgium dan juga pengasas kepada Blue Label Diving di Thailand memberitahu media bahawa kesemua mangsa meninggalkan kelengkapan sukan milik mereka di pintu gua untuk menjalankan satu ritual sebagai seoarang remaja.

12 mangsa yang berusia diantara 11 hingga 16 tahun itu memasuki gua dan meneroka hingga ke bahagian hujung gua untuk mengukir nama mereka pada satu bahagian dinding sebelum keluar semula, namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila hujan mula turun hingga air memasuki gua dan menutup pintu keluar.

Menurut Komander SEAL Tentera Laut Diraja Thailand, Rear Adm Arpakorn Yookongkaew, seramai 7 anggotanya, termasuk anggota perubatan, berada bersama-sama dengan kesemua mangsa. Malah mereka turut mendirikan satu ‘ibu pejabat’ ditempat mangsa ditemui yang turut menempatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan.

Ketika ini, pasukan meyelamat hanya mampu mengepam keluar sebanyak 10,000 liter air setiap sejam, namun ia hanya mampu menurunkan paras air dalam gua sebanyak 1 sentimeter sahaja.  Pasukan penyelamat bimbang hujan berterusan hanya menjadikan kerja-kerja menyelamat mereka satu usaha yang sia-sia sekiranya air terus menerpa masuk.

Salah satu pelan menyelamat yang dicadangkan adalah pasukan menyelamat turun untuk mengajar sebahagian mangsa cara-cara mahu berenang dan menyelam, namun pakar meragui cadangan tersebut setelah wujud kebimbangan sama ada mangsa-mangsa tersebut sempat memahirkan diri kerana masa yang kian suntuk.

”Ketika cuaca buruk diramalkan akan berterusan, kerja-kerja menyelamat perlu dipercepatkan. Alatan selaman akan digunakan, jika paras air terus meningkat, kerja-kerja menyelamat akan bertambah sukar. Kami perlu mengeluarkan mangsa dengan segera,” kata salah seorang penyelamat.

”Selaman adalah satu perkara yang sukar sekiranya mangsa tidak pernah melakukannya sebelum ini, malah ia disukarkan dengan laluan sempit, gelap dan air yang keruh. Jika mangsa kehilangan alatan selaman tersebut ketika melakukan selaman, ia boleh mengancam nyawa mereka,” katanya lagi.

”Mereka tidak tahu berenang, sudah tentu mereka tidak pandai menyelam. Jadi pilihan yang ada buat penyelamat ketika ini adalah mengepam keluar semua air hingga paras air turun beberapa kaki.

”Jadi, pasukan penyelamat boleh memberikan mangsa jaket keselamatan dan mengapungkan mereka keluar. Namun dengan jangkaan hujan dan ribut akan melanda kawasan operasi, dikhuatiri paras air terus meningkat dan mengancam kawasan selamat mangsa ketika ini,” kata Reymenants.

Jika semua pelan yang dirancang gagal, maka pilihan terakhir adalah menempatkan dua orang doktor yang secara sukarela menawarkan diri untuk kekal bersama-sama mangsa sehingga tamat musim monsun dan kerja-kerja menyelamat boleh diteruskan semula.

Sumber : Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.