Siakap Keli

Kecoh Betul, Ingatkan ‘Aminah’ Rupanya ‘Sarinah’

Gara-gara ‘Aminah’, sebuah zoo di Surabaya Indonesia menjadi kecoh baru-baru ini.

Difahamkan, kekecohan itu terjadi apabila anggota Front Pembela Islam (FPI), pada Ahad lalu telah melakukan kunjungan ke zoo itu untuk menunjukkan protes.

Ini disebabkan tindakan pihak zoo yang memberi nama kepada seekor unta yang lahir pada 15 Mei lalu dengan nama Aminah.

Pihak FPI beranggapan, pemberian nama Aminah itu telah mempersendakan nama ibunda Nabi Muhammad SAW, Siti Aminah.

Gambar : JawaPos.com

Bagaimanapun, selepas perbincangan  diadakan, pihak zoo menjelaskan bahawa pemberian nama Aminah itu tidak benar.

Berdasarkan dokumen, nama unta tersebut ditulis dengan nama Sarinah dan bukannya Aminah.

Tetapi, ketika membuat hebahan media tidak lama dulu, ia telah disalah sebut dan menimbulkan kekeliruan ramai.

“Ya betul FPI ke sini. Isu ini hanya salah sebut, nama unta itu sebenarnya Sarinah, atau ketika diumumkan teman-teman media tidak mendengarnya,” kata ketua perhubungan awam zoo, Winy Saat memetik dari JawaPos.com.

Apabila penjelasan dibuat, kedua-dua pihak berpuas hati dan saling bermaafan. Pihak zoo memohon maaf jika kejadian tersebut dianggap mempersendakan ibu Nabi Muhammad SAW.

“Kita minta maaf, pihak FPI boleh menerimanya. Malah FPI juga minta maaf jika kehadirannya mencetuskan kekecohan dan rasa kurang senang,” katanya.

‘Sarinah’ lahir di Zoo Surabaya dari pasangan Milo, 14, dan Okky, 25 selepas ibunya bunting selama 13 bulan.

Anak unta berbulu putih itu menjadikan keluarga unta di zoo itu bertambah menjadi enam ekor.

Sumber : JawaPos.com

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.