Siakap Keli
Kredit: Bernama

Timbul Tanda Tanya Kadar Dividen Akaun 3, KWSP Tampil Beri Penjelasan

Timbul Tanda Tanya Kadar Dividen Akaun 3, KWSP Tampil Beri Penjelasan

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini mengumumkan penstrukturan semula akaun ahli KWSP daripada dua akaun, iaitu Akaun 1 dan Akaun 2 kepada tiga akaun, iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Inisiatif yang berkuat kuasa bermula 11 Mei itu adalah bertujuan untuk menambah baik keselamatan pendapatan persaraan, dan pada masa yang sama memenuhi keperluan kitaran hidup ahli.

Menurut KWSP, semua caruman yang diterima selepas tarikh tersebut akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan tertentu, iaitu Akaun Persaraan (75 peratus), Akaun Sejahtera (15 peratus) dan Akaun Fleksibel (10 peratus).

Bagaimanapun, satu komen di laman X rasmi KWSP mendapat perhatian apabila ada individu yang bertanyakan tentang kadar dividen bagi Akaun 3.

Menjawab kepada persoalan tersebut, KWSP menjelaskan bahawa kadar dividen bagi Akaun 3 (Akaun Fleksibel) adalah sama dengan kadar dividen bagi Akaun 1 (Akaun Persaraan) dan Akaun 2 (Akaun Sejahtera).

Ringkasnya, kadar dividen akan kekal sama bagi ketiga-tiga akaun pencarum KWSP.

Memetik laporan Bernama, dividen akan berubah pada masa akan datang sebagai aset cair yang tidak mengundang kadar faedah atau dividen lebih tinggi.

Pemindahkan sebahagian baki Akaun 2 (Akaun Sejahtera) ke Akaun 3 (Akaun Fleksibel)

Bagaimanapun, bermula 11 Mei hingga 31 Ogos 2024, pencarum diberi peluang SEKALI SAHAJA untuk memindahkan sebahagian daripada baki dalam Akaun Sejahtera (dahulunya Akaun 2) ke Akaun Fleksibel sebagai baki permulaan.

Sekiranya pencarum berminat, pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan akaun-akaun lain (jika berkenaan) adalah berdasarkan jumlah baki dalam Akaun Sejahtera pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh pencarum.

Namun begitu, sekiranya pencarum memilih untuk tidak berbuat demikian, maka TIADA sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera.

Bagi pencarum yang ingin memanfaatkan pilihan itu boleh mengemukakan permohonan mereka melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau ‘Self-Service Terminal’ yang terdapat di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara bermula 11 Mei ini.

BACA: Bintang Sepanyol Puji Arab Saudi, Dompet 8 Bulan Hilang Ditemui Semula Tak Diusik

BACA JUGA: Pemacu Potensi Global: Fokus MITI Yang Diperbaharui Untuk Memacu Pelaburan, Perdagangan & Industri Malaysia 

Sumber: @KWSPMalaysia via X

Athirah

When nothing goes right, go left.