Syarikat pengeluar roti Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) tampil memberikan penjelasan berhubung kebimbingan yang dibangkitkan oleh pengguna di media sosial berhubung produknya baru-baru ini.
Gardenia Beri Penjelasan
“Kami memandang serius setiap laporan yang diterima dan prihatin terhadap kesejahteraan pengguna serta keluarga yang terlibat.
“Wakil kami telah bertemu dengan pengguna berkenaan untuk memahami dengan lebih jelas kejadian yang dilaporkan serta mendapatkan maklumat lanjut.
“Produk berkaitan juga telah diambil untuk pemeriksaan sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan.
“Jabatan-jabatan berkaitan sedang meneliti maklumat yang tersedia, rekod pengeluaran serta kawalan kualiti bagi mengenal pasti fakta sebenar dan menentukan tindakan susulan yang sewajarnya.
“Kami juga ingin memberi jaminan kepada pengguna bahawa tiada perubahan dibuat terhadap resipi atau formulasi produk kami dan prosedur keselamatan makanan serta kawalan kualiti yang ditetapkan terus dilaksanakan.
“Gardenia KL komited untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam sebarang siasatan lanjut, termasuk pemeriksaan di kilang kami.
“Kami kekal komited dalam menyediakan produk yang selamat dan berkualiti tinggi kepada pengguna,” maklum kenyataan itu.

