Siakap Keli

(Video) Pemain Malaysia B19 Terpaksa Berlari Elak Dibaling Objek Dari Penyokong Indonesia

Pemain pasukan bola sepak kebangsaan bawah 19 tahun negara (B19) semalam menghadapi detik getir untuk keluar dari stadium Gelora Delta Sidoarjo di mana mereka terpaksa berlari seorang demi seorang untuk keluar daripada padang stadium selepas ‘dikepung’ dan dibaling objek oleh penyokong Indonesia ketika hendak keluar ke bilik persalinan.

Kejadian berkenaan berlaku selepas penyokong pasukan tuan rumah tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan yang menyaksikan pasukan (B19) Indonesia kalah dengan penentuan sepakan penalti 3-2 selepas kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1 dalam aksi separuh akhir kejohanan AFF bawah 19 tahun semalam.

Di dalam video berkenaan dilihat pemain negara berlari seorang demi seorang ke bilik persalinan sambil menutup kepala dengan tangan untuk mengelak balingan objek yang dilontarkan kepada mereka.

Kelihatan pihak keselamatan terpaksa memayungi laluan pemain dengan kain untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingin berlaku.

Gol pihak tuan rumah telah dijaringkan oleh Egy Maulana Vikri (1′) dan gol pasukan negara dijaring oleh Muhammad Syaiful (15′). Pasukan B19 negara dijadualkan akan bertemu pada perlawanan akhir bertemu Myanmar pada Sabtu, 14 Julai ini.

Daus Ishak

Jangan terpaku terlalu lama dengan kejayaanmu