Siakap Keli

Umur Cecah Tiga Suku Abad Tidak Halang Warga Emas Jaga Isteri Uzur

Seorang lelaki warga emas di Kampung Matang Paku, Ayer Hitam di Kedah tidak menjadikan usianya yang mencecah tiga suku abad sebagai penghalang untuk menjaga isterinya yang sakit.

Ujar Ismail Saleh, 75, isterinya Rokiah Tayed, 69, yang menghidap penyakit parkinson itu tidak mampu melakukan sebarang kerja rumah selain tidak dapat bergerak secara sendiri sejak beberapa tahun lalu.

“Mak cik tak boleh bergerak sendiri, kalau mahu ke bilik air pun pak cik yang akan angkat jadi, semua kerja rumah termasuk memasak dan mengemas rumah pak cik akan lakukan kerana kami tinggal berdua sahaja.

“Makan dan minum pula kami bergantung kepada bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kadang-kadang ada orang yang datang menghantar bekalan barang seperti beras,” katanya kepada BERNAMA.

Tambahnya, mereka berdua terpaksa bergantung kepada duit bantuan tersebut kerana dia tidak boleh bekerja disebabkan perlu sentiasa berada di rumah untuk menjaga kebajikan isterinya.

Lebih menyedihkan, pasangan suami isteri ini tinggal di sebuah rumah kayu dua tingkat yang sudah usang.

“Bahagian atas rumah tidak boleh duduk kerana telah dimakan anai-anai manakala bumbung rumah di bahagian atas dan dapur telah tercabut dan ditutup menggunakan kain kanvas sahaja. Kalau ada atap zink boleh pak cik panjat bumbung untuk pasang nanti,” katanya.

Sementara itu, Datuk Aziz Mahmud yang merupakan Pegawai Khas kepada Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang turut hadir, berkata beliau akan membawa perkara itu ke Mesyuarat Tindakan Pembangunan Daerah yang akan diadakan minggu depan.

“Kita akan maklumkan keadaan rumah pak cik Ismail ini dalam mesyuarat nanti bagi membolehkan rumah baharu dibina untuk keselesaan pasangan warga emas ini,” katanya.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.