Siakap Keli

Empangan Di Laos Runtuh, Puluhan Dikhuatiri Maut Dan Ratusan Masih Hilang

BANGKOK- Sekurang-kurangnya puluhan nyawa dikhuatiri maut dan ratusan orang masih dilaporkan hilang berikutan kejadian empangan hidro elektrik di tenggara Laos yang runtuh semalam.

Insiden yang berlaku di tenggara wilayah Attapeu sekali gus melepaskan lima bilion kubik meter air.

Anggota penyelamat yang bertugas berusaha mengesan ratusan penduduk yang hanyut akibat insiden yang mengakibatkan sekurang-kurangnya tujuh kawasan perkampungan disahkan ditenggelami air.

Menurut gambar yang turut dilampirkan dalam laporan media tempatan, penduduk di wilayah itu terperangkap di atas bumbung rumah mereka yang di tenggelami air dari empangan tersebut.

“Operasi menyelamat akan diteruskan hari ini, walaupun berdepan pelbagai kesukaran.

“Puluhan penduduk dipercayai maut dan jumlahnya dijangka terus meningkat,” kata seorang pegawai yang dihubungi menurut laporan yang dipetik dari Reuters.

Sementara itu, di Seoul, Menurut SK Engineering & Construction (SK E&C) yang merupakan rakan kongsi syarikat pembinaan empangan Xe-Namnoy,  mereka berjaya mengesan masalah pada bahagian atas strukturnya kira-kira 24 jam sebelum ia runtuh.

Jelas SK E&C yang juga syarikat pembinaan Korea Selatan , kerosakan tersebut dikesan pada Ahad lalu, pada jam 9 malam (waktu tempatan).

“Kami terus memaklumkan masalah itu kepada pihak berkuasa dan operasi memindahkan penduduk di kawasan berhampiran terus dimulakan.

“Namun, kerja membaiki kerosakan terjejas akibat hujan lebat dan pada awal pagi Isnin, air dilepaskan dari empangan Xe-Namnoy, iaitu salah satu daripada dua empangan utama dalam projek itu, dalam usaha mengurangkan tekanan terhadap struktur tambahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, pada masa sama, menjelang tengah hari kerajaan mengeluarkan amaran mengenai kerosakan tambahan pada empangan itu, sebelum ia runtuh beberapa jam kemudian.

“Menjelang pagi Selasa, tujuh daripada 12 perkampungan di sekitar empangan disahkan tenggelam,” ujarnya.

Firma Korea Selatan itu berkata, mereka sudah mengerah pasukan krisis ke lokasi terbabit serta menghantar helikopter, bot dan pekerja penyelamat bagi membantu menyelamatkan mangsa kejadian.

“Ketika ini, SK E&C sedang bekerjasama  dengan Kerajaan Laos bagi membantu operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

Sumber- Reuters

Aisha Ratnila

"Don't be distracted by criticism. Remember the only taste of success some people get is to take a bite out of you."

- Zig Ziglar