Siakap Keli

“Ustazah B*bi Bod*h”, Guru Luah Rasa Sedih Bila Dapat ‘Surat Cinta’ Seperti Ini Dari Murid Sendiri


Bukan sekali dua kita mendengar masalah-masalah atau perangai tidak beradab yang berpunca daripada remaja-remaja sekolah. Kes buli, penyalahgunaan dadah, ponteng sekolah, mencuri, malah kes bunuh pun kita pernah dengan dan dilaporkan oleh media.

Yela, ada yang cakap mereka ini masih budak-budak dan semangat ingin tahu yang kuat dalam diri mereka menyebabkan mereka memberontak dan melakukan perkara di luar batasan. Lagi satu, ada yang membela remaja-remaja ini dengan mengatakan bahawa mereka masih mentah, tetapi jika diperhatikan kesalahan-kesalahan yang mereka buat, itu bukanlah jenayah yang sepatutnya seorang remaja lakukan.

Bila difikir-fikirkan, sudah tentu cikgu-cikgu di sekolah yang berhadapan dengan pelajar-pelajar bermasalah ini paling banyak diduga dengan tingkah laku mereka. Dan itulah yang dikongsikan oleh seorang guru praktikal mengenai pengalamannya berhadapan dengan pelajar sekolah rendah yang sanggup menggelarkannya sebagai ”Ustazah Babi Bodoh”.

Nak tahu apa yang terjadi sehingga cikgu ini digelar sebegitu oleh anak muridnya? Jom baca perkongsian tersebut di bawah.

Sedih sangat hati hari ni, dapat ‘surat cinta’ daripada anak murid sendiri. Petang semalam saya tegur beberapa orang pelajar Tingkatan 2 yang sedang leka bermain kad ‘mobile legends’, sedangkan saya sedang mengajar di depan kelas.

Sekali tegur suruh simpan tak jalan, dua kali tegur tak jalan jugak. Siap mengejek ‘ustazah cikgu praktikal je tak layak nak tegur saya’. Dia tunjuk dia punya kurang ajar, sekali dah tak boleh nak sabar, saya bangun pergi kat meja dia, saya rampas semua kad tu, niat pada mulanya nak rampas saja, dan akan pulangkan semula bila habis kelas nanti. Tapi bila diamati kad tu betul-betul, rupanya kad ‘mobile legends’ yang mnjadi kegilaan remaja sekarang adalah kad berunsur lucah, kad perempuan berpakaian seksi dengan buah dada dan punggung tersembul keluar serta merta saya koyak semua kad tu depan mata dia.

‘Saya report mak ayah saya suruh jumpa ustazah nanti’

‘Silakan, saya boleh explain satu persatu kat mak ayah awak, apa kesalahan awak dan kenapa saya buat mcm ni’

Dia diam. Merah padam muka dia semalam tahan marah, saya tanya kenapa main kad macam ni. Kan ada gambar tak elok tu, dia kata dah lama dia kumpul kad tu, sebab kad tu paling banyak dapat markah. Berebut-rebut orang nak kumpul.

Allahu, sedikit demi sedikit musuh Islam mencucuk jarum halus memainkan peranan untuk merosakkan anak-anak kita. Menakutkan budak-budak zaman sekarang ni. Jauh sangat beza perangai mereka dengan kita dulu. Moga Allah jaga kita semua serta selamatkan anak-anak dan generasi kita dari perkara-perkara yang boleh menghakis nilai islam dalam diri.

Zaman ini, pelbagai serangan yang bertubi-tubi sedang menghentam pemikiran dan jiwa anak-anak kita.

Satu-persatu benda yang tidak bermanfaat ditonjolkan dalam masyarakat kita. Dengan tiktoknya, syantiknya, dan yang terbaru Keke Challenge, termasuk juga permainan video seperti mobile legends dan sebagainya. Hingga anak-anak terpengaruh dan hilang adab, rasa malu dan rasa hormat pada orang lain..

Setiap daripada kita perlu memainkan peranan sebenarnya terutama ibu bapa dan guru-guru. Sebahagian ibu bapa berlepas tangan dalam mendidik anak-anak, malah beri kebebasan sepenuhnya kepada anak-anak untuk menggunakan gadjet tanpa ada sekatan langsung.

Dan pada masa yang sama, di sekolah, sebahagian guru muda pula gigih merakam tiktok dan musically bersama anak murid, sibuk berselfie setiap hari dalam kelas dan upload di media sosial setiap masa dgn alasan nak jadi cikgu yang ‘sporting’. Lalu lahirlah acuan anak-anak yang sebegini. Kelak bimbang di kemudian hari nanti perkara ini akan diserap menjadi budaya dan normalisasi dalam jiwa anak-anak, kerana tiada siapa pun yg mahu menegur.

Apapun, moga kita bersama-sama memainkan peranan dalam mendidik anak-anak kita, agar subur hati mereka dengan ajaran islam yang sebenar. Moga anak-anak kita tepelihara dari unsur-unsur sebegini.

Sekian luahan saya,

Guru praktikal yang tidak mengambil jurusan pendidikan.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.