Siakap Keli

(Video) Bunyi Detuman Guruh Lama, Antara Fenomena Alam Dengan Peringatan Tuhan

Tular semalam mengenai satu bunyi detuman ‘aneh’ yang boleh didengari di beberapa tempat di Selangor, terutamanya di kawasan Cyberjaya, Puchong dan kawasan sekitarnya. Bunyi detuman tersebut yang berlaku diantara pukul 7 ke pukul 8 malam itu telah mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan netizen tanah apabila terdapat beberapa individu yang memuat naik perkara tersebut ke platform media sosial.

Walaupun begitu, bunyi detuman aneh yang berlarutan dalam beberapa saat itu dikatakan berpunca daripada fenomena alam, dengan hujan lebat sebenarnya telah melanda beberapa kawasan di ibu kota dan kawasan sekitarnya. Ini termasuklah ramalan cuaca yang diterbitkan oleh Jabatan Meteorologi yang meramalkan beberapa kawasan di beberapa buah negeri akan dilanda hujan lebat dengan ribut petir.

Malah sejak beberapa hari yang lalu, netizen turut berkongsikan beberapa gambar kejadian cuaca aneh seperti pembentukan awam tebal yang berlaku di seluruh negara. Malah, laman facebook kami, Siakap Keli turut berkongsi beberapa keping gambar yang tular tersebut.

Antara jawapan kepada bunyi detuman kuat yang berlaku semalam adalah akibat panahan kilat seperti yang berlaku di ibu kota yang dikongsi oleh Joe Taufiq, tepat lagi apa yang berlaku di Menara Berkembar Petronas semalam. Selain fenomena panahan kilat tersebut serta hujan lebat, terdapat juga pembentukan awan aneh seperti yang kami sebut sebentar tadi.

Fenomena pembentukan awan aneh yang tebal dan gelap ini dikongsi oleh Ahmad Syahir Ismail yang mendakwa kejadian tersebut berlaku di salah sebuah kawasan di negeri Kelantan. Selain dua fenomena alam yang kami kongsikan di atas, terdapat beberapa lagi fenomena alam yang berlaku di beberapa buah negeri lain antaranya di Sabah sebelum ini serta bencana banjir di Sarawak ketika ini.

Namun, bagi beberapa orang cerdik pandai dalam hal-hal agama, fenomena-fenomena yang berlaku di atas bukan sahaja terhad terhadap kejadian alam semata. Malah, ada dalam kalangan cerdik pandai agama ini memberi pesan agar manusia-manusia mula ‘beringat’ apabila beberapa kejadian cuaca alam yang pelik kerap berlaku.

Antara yang membangkitkan hal ini adalah Pencetus Ummah (PU) Amin yang terkenal dengan kerja dakwahnya menggunakan platform media sosial seperti facebbok.

”Perasan tak tadi? Geng yang duduk kawasan Cyberjaya sehingga ke Puchong pasti terasa. Seperti bunyi kereta api melintasi sesuatu kawasan. Kuat juga, ingat saya seorang sahaja yang perasan. Kebetulan hujan lebat tak berhenti hari ini. Ya, mungkin fenomena alam, mungkin juga Tuhan pasang ”Alarm”,” kata PU Amin.

Selain PU Amin, beberapa orang netizen yang meninggalkan komen di perkongsian semula kami juga mengingatkan perkara yang sama, walaupun sehingga kini punca kejadian bunyi detuman kuat itu masih tidak dapat disahihkan oleh mana-mana pihak.

”Pelbagai kemungkaran, maksiat, pertelagahan, caci maki sesama sendiri, masjid dan surau semakin sunyi dengan makmum. Semoga amaran dari Allah ini, kita dapat menginsafi diri dan muhasabah,” kata seorang pengikut Siakap Keli dengan nama Saly Nata.

”Subhanallah, semoga kita sentiasa dilindungi Allah,” kata seorang lagi pengikut kami yang dikenali sebagai Adam Adam.

Melalui laman facebook Jabatan Meteorologi semalam, jabatan itu mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa buah negeri termasuklah beberapa kawasan di ibu kota dan Selangor.

Amaran ribut petir yang dikeluar dengan agak kerap itu meramalkan kejadian ribut petir melanda beberapa negeri bermula daripada seawal pukul 4 pagi, 31 Julai sehinggalah amaran terakhir yang dikeluarkan pada pukul 11.05 malam pada 31 Julai  sehingga pukul 2 pagi awal pagi hari ini.

Sumber : PU Amin, Jabatan Meteorologi Malaysia

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.