Siakap Keli

Kerajaan PH Lepasi Tahap Lulus Tunaikan Janji 100 Hari Manifesto PRU 14 – Menteri

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, kerajaan telah melepasi tahap lulus dalam menunaikan janji yang terkadung dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU 14) dalam tempoh 100 hari.

Beliau turut berkata bahawa kerajaan Pakatan Harapan diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kekal komited untuk merealisasikan janji PRU 14.

“Walaupun terdapat kategori yang kami berjaya laksanakan tetapi ada juga kategori dalam manifesto PRU14 yang belum dilaksanakan dan ada yang dalam proses pelaksanaan tetapi tidak sepenuhnya. Saya fikir rakyat boleh menerimanya,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA.

Antara janji yang ditunaikan adalah penghapusan senarai hitam melibatkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk golongan suri rumah dan menstabilkan harga minyak.

“Yang masih belum berjaya dilaksanakan adalah menghapuskan hutang peneroka FELDA di mana kerajaan melaksanakan selepas kedudukan kewangan kerajaan kembali baik,” katanya.

Malah, beliau turut memberitahu bahawa jemaah menteri bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa kabinet mengenai kos sara hidup iaitu Majlis Menangani Kos Sara Hidup.

“Majlis Menangani Kos Sara Hidup ini akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri yang bertujuan untuk melegakan kos sara hidup rakyat termasuklah kos perumahan, kos pengangkutan, bil utiliti, kesihatan, harga barang dan pendidikan,” katanya.

Saifuddin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, berkata pemimpin Pakatan Harapan harus memberi penerangan kepada rakyat kenapa terdapat janji dalam manifesto PRU14 yang belum dilaksanakan.

“Kerajaan mesti bersikap terbuka terima teguran dalam hal ini dan kita harus “communicate” dengan baik kenapa kita tidak dapat laksanakan dan tidak menyembunyi atau bersikap “denial” sindrom,” katanya.

Berbeza dengan kerajaan terdahulu, beliau berkata kekuatan kerajaan hari ini adalah kerajaan Pakatan Harapan terbuka dengan teguran dan kritikan.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.