Siakap Keli

”Itu Bukan Cacing Tapi Kelongsong Spermatozoa”, Jabatan Perikanan Jawab Video Tular Cacing Dalam Kepala Udang

Tular sejak beberapa hari lalu sebuah rakaman video berbahasa Mandarin yang mendakwa bahawa udang ternakan yang sering digunakan dalam masakan hari ini mempunyai cacing di bahagian kepalanya.

Penularan video tersebut nyata mencetuskan persoalan dalam kalangan pengguna tempatan yang turut khuatir sama ada dakwaan tersebut benar dan boleh memberi kesan kepada mereka sekiranya dimakan.

Rentetan daripada penularan video tersebut, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah mengambil inisiatif untuk menyiasat dakwaan berkenaan dan memberikan penjelasan melalui satu kenyataan media yang dimuat naik di laman facebook rasmi jabatan tersebut.

Melalui kenyataan tersebut, DOF membuat agakkan bahawa video berkenaan mungkin berasal daripada luar negara berdasarkan slanga bahasa Mandarin yang dipertuturkan oleh individu-individu di dalam video itu.

DOF juga berjaya mengenal pasti jenis udang yang didakwa mempunyai cacing di bahagia kepada tersebut.

‘Bahagian Penyelidikan Perikanan DOF telah menetiliti video tersebut dan mendapati spesimen udang di dalam video tersebut itu merupakan spesimen udang laut dari jenis udang putih Penaeus vannamei (white leg shrimp),” memetik kenyataan tersebut.

DOF juga menganggarkan bahawa udang yang tular itu sudah berusia diantara 120-150 hari dan bersaiz berat antara 30-50 gram selain sudah mencapai umur matang untuk dibiakkan.

Kenyataan itu lagi menyebut bahawa udang yang ditularkan itu bukanlah spesis asli yang biasa ditemui di perairan Malaysia, sebaliknya ia dikatakan berasal daripada perairan Amerika Latin, khususnya di Mexico dan Peru. Bagaimanapun sejak 2004, spesis udang tersebut mula dibawa masuk dan diternak secara meluas di perairan Asia Tenggara dan menjadi udang ternakan serta eksport utama Malaysia.

Bagaimanapun menurut DOF, objek putih seakan-akan cacing yang ditularkan itu bukanlah cacing seperti yang didakwa.

”Objek putih seperti cacing yang dikeluarkan dari bahagian kepala spesimen udang tersebut diyakin BUKAN cacing sebaliknya kelongsong spermatozoa (spermatid) daripada udang matang jantan,” kata DOF lagi.

Sebelum dikeluarkan, DOF berkata ia tersimpan dalam kelongsong panjang, mirip kepada bentuk seperti cacing. Sperma ini biasanya dipindahkan daripada udang matang jantan kepada udang betina dimana tenik aruhan yang sering digunakan penternak akan mengeluarkan kelongsong sperma tersebut sebelum membenam pada spesimen betina.

”DOF berharap orang ramai tidak khuatir terhadap pengeluaran udang daripada sumber auakultur,” kata kenyataan media itu lagi.

Bagaimanapun DOF menasihatkan pengguna mengelak daripada memakan bahagian kepala udang secara kerap disebabkan bahagian tersebut mengandungi perut utama yang menerima dan menyimpan pelbagai sumber organik.

DOF juga berkata pihaknya sentiasa memantau aktiviti penternakan akuakultur tempatan bagi memastikan ia bebas daripada pencemaran dan selamat untuk dimakan.

Sumber : Jabatan Perikanan Malaysia

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.