Siakap Keli

KJ Letak Jawatan Komander Askar Wataniah Dan Mohon Pembatalan Tauliah Selepas Lima Tahun Bergelar Komander

Siapa tidak kenal dengan Ahli Parlimen (BN) Rembau, Yang Berhormat (YB) Khairy Jamaluddin, satu figura politik yang tidak asing dalam dunia politi tempatan. Seorang yang mempunyai penampilan menarik, vokal dan selalu ke hadapan dalam isu-isu semasa melibatkan rakyat Malaysia.

Malah, YB Khairy adalah antara individu yang paling disebut-sebut dalam barisan pembangkang tanah air ketika ini. Bermula daripada kenyataan-kenyataan yang dibuatnya sebaik sahaja BN tumpas dalam Pilihanraya Umum 14 yang lalu, Permilihan Presiden UMNO sehinggalah sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

Terkini, YB Khairy melalui satu kemas kini di laman sosial rasmi, Twitter miliknya, telah memuat naik satu status yang memberi bayangan bahawa beliau telah meletakkan jawatan sebagai Komander 508 Askar Wataniah kepada Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Mej. Jen. Dato’ Zainal.

Malah, melalui status yang sama, YB Khairy juga memohon pembatalan tauliah pangkat yang diterimanya selepas lima tahun bergelar seorang Komander Askar Wataniah. Sebelum ini, mengikut laporan media tempatan, YB Khairy telah dilantik menjadi Komander 508 Askar Wataniah pada Januari, 2014.

Untuk rekod, YB Khairy yang telah menjalani latihan ketenteraan di beberapa kem di Negeri Sembilan dan Johor selama sebulan pernah dianugerahkan sebagai Pelatih Terbaik Keseluruhan dan Pelatih Akademik Terbaik Kursus Asas Perajurit Muda (Sukarela) Siri 1/2010 Rejimen 508 AW pada 2010 lalu.

Melalui status yang sama, beberapa pengikut laman Twitternya dilihat terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh YB Khairy.

Sumber : Twitter Khairy Jamaluddin

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.