Siakap Keli

Pengantin Lelaki Dah Siap, Belum Sempat Kahwin Pengantin Perempuan Meninggal

Hari yang ditunggu-tunggu oleh seorang lelaki akhirnya tiba apabila dia kelihatan segak memakan sut lengkap dan ‘bow tie’ untuk bergelar suami kepada wanita yang amat dicintainya.

Perkahwinan itu yang dijadualkan berlangsung pada Ahad di sebuah hospital di bandar Zhengzhou di wilayah Henan bagaimanapun tidak dapat dilangsungkan kerana pengantin perempuan yang menghidap leukemia meninggal dunia.

Gaun pengantin yang tergantung di sebelah katil hospital yang sepatutnya dipakai pengantin perempuan itu tidak terusik, lapor China News Service.

Harapan Yang Feng, 27, hancur berkecai. Dia yang bekerja sebagai budak penghantar bertemu Xiao Hui, 32, dua tahun lalu ketika dalam perjalanan menghantar barang dan wanita itu menumpangnya.

“Kalaulah saya kenal dia lebih awal sebelum ini,” kata Feng kepada media tempatan.

Apabila dia mengetahui tentang kematian bakal isterinya pada kira-kira jam 5.20 petang, dia menahan air mata ketika bercakap dengan pemberita di hospital, dalam satu video yang dimuat naik di saluran YouTube Shi Pin San Tiao.

“Perkahwinan itu tidak dapat diadakan lagi,” katanya sedih sambil masuk ke dalam wad.

“Kamu semua tolong pergi.”

Hui didiagnosis dengan leukemia myeloid kronik, kanser sel darah putih ketika dia berusia 24 tahun, sesuatu yang diberitahu Feng ketika pertama kali bertemu.

Walaupun begitu, Feng tekad untuk menjalinkan hubungan dengannya. Apabila keadaannya berubah menjadi teruk pada Jumaat lepas, Feng memutuskan untuk berkahwin dengannya di hospital.

Semasa mereka bercinta, Feng akan menghabiskan kira-kira 3,000 yuan hingga 4,000 yuan dari 5,000 yuan pendapatan bulanannya untuk merawat kekasihnya, kata agensi berita China News Service.

Dia berkata kepada laman web berita itu: “Saya mula-mula simpati dengannya, tetapi semakin kami berinteraksi, saya ingin menjaganya sepanjang hidup dan saya mula memujuknya.”

Kisah menyayat hati itu menyentuh hati netizen dengan posting Weibo oleh China Central Television, rangkaian TV terbesar di Beijing, mendapat lebih dari 2,000 perkongsian dan 23,000 tanda ‘like’.

Seorang pengguna, Jeremy-ZL-79900, menulis: “Mungkin ini adalah cinta sejati, tidak mengharapkan untuk tua bersama, tetapi sentiasa ada antara satu sama lain sehingga saat terakhir.”

Seorang pengguna lain, WhiteRabbit0125, menulis: “Sekiranya ada kehidupan akhirat, saya harap anda akan bertemu lagi dan tidak akan dipisahkan.”

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.