Siakap Keli

(Gambar) Melancong Ke Kota MACAO, Rupanya Ini Tempat Menarik Dan ‘Port’ Makanan Halal Ramai Orang Malaysia Tak Tahu

Terletak di Selatan China, Wilayah kecil Macao mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Tak kenal maka tak cinta. Boleh dikatakan sebagai sebuah destinasi pelancongan ‘mesra muslim’, anda tidak perlu ragu-ragu sekiranya memilih untuk berkunjung ke sini.

Dari Malaysia, Macao hanya terletak sejauh 2,365 kilometer dan tidak mengambil masa penerbangan yang terlalu lama. Hanya empat jam perjalanan bersama AirAsia.

Destinasi menarik di Macao yang kami sajikan ini mungkin boleh membantu anda yang berhajat untuk bercuti ke negara gabungan dua budaya China dan Portugis ini. Pendek kata, semua tempat yang kami kongsikan, wajib masuk dalam ‘bucketlist’ percutian anda ke Macao nanti!

Kalau anda nak tahu, di kota Macao terdapat satu-satunya bukti peninggalan Islam iaitu Islamic Mosque & Cemetery. Ha, siapa sangka kan pengaruh Islam akan sampai ke negara jajahan Portugis ini. Jika datang ke sini, dapatlah kita selami sejarah kedatangan Islam ke Macao yang mempunyai lebih kurang 400 orang penduduk muslim. Bagi anda yang tertanya-tanya di mana lokasinya, masjid ini terletak di Ramal Dos Moros, berhampiran dengan muzium komunikasi Macao. Boleh lah tinjau sendiri masjid yang penuh dengan sejarah ini.

Setibanya di sana, dari Lapangan Terbang Antarabangsa Macao anda boleh bergerak dengan menaiki kemudahan awam. Untuk yang pertama kali datang ke sini,  kami sarankan anda menaiki bas ‘Hop-In Hop-Off’ agar perjalanan anda lebih mudah. Dengan kos tambang yang murah, anda dapat menikmati pemandangan indah dari atas bumbung bas yang terbuka, Apa yang menarik, bas ini akan berhenti di 16 lokasi menarik tau, antaranya adalah mercu tanda Macao. Jadi jangan lepaskan peluang ini!

Sebut je pasal makanan, kami yakin bila berkunjung ke sini pasti ramai yang risau untuk mendapatkan makanan halal kan. Bertenang, tak perlu pening kepala kerana di Macao terdapat banyak pilihan makanan halal yang menjadi tumpuan pelancong muslim.

Antaranya restoran Loly Indonesian Food, Golden Peacock, Loulan Islam Restaurant, Dong Lai Shun Muslim Restaurant, Taste of India, Indian Garden (pork free), Indian Spice Express (pork free) dan bermacam lagi. Ha, paling penting anda kena cuba rasa Portuguese Egg Tarts, rasanya memang umphhh, senang cakap  umpama makanan ‘trademark’ apabila menjejakkan kaki ke sini!

Tarikan Utama Kota Macao : Tempat ‘Wajib’ Jelajah

Menara Macau

Lokasi popular yang menjadi tarikan utama yang harus dikunjungi di kota ini pastinya Menara Macao. Menawarkan panorama indah, menara yang tersergam indah melengkapkan percutian anda di bumi Macao.

Dengan ketinggian 338 meter, segala keindahan bandar Macao boleh dinikmati dari atas puncak Menara. Fuhh, memang memukau mata sesiapa sahaja. Cuba pula pijak bahagian kaca yang boleh nampak terus ke bawah, memang gayat habis lah!

Tunggu, bukan itu saja. Bagi mereka yang sukakan cabaran ekstrem atau nak cabar diri sendiri, ada aktiviti menarik yang disediakan untuk anda. Antara aktiviti popular yang boleh anda cuba adalah ‘Bungee Jumping’ dan ‘Skywalk’.

Kalau nak tahu, terjunan bungee di sini adalah yang paling tinggi di dunia tau, dengan kelajuan 200/jam meluru ke bawah. Boleh tercabut jantung dibuatnya. Selain, menara 4 tingkat ini juga menyediakan pawagam, restoran dan sebagainya. Memang menarik!

Macao Fisherman Wharf

Dah puas menikmati panorama indah, hari berikutnya jom kita kunjungi taman tema budaya dengan tarikan menarik yang pertama dalam industri pelancongan Macao. Inilah dia Macau Fisherman Wharf. Apa yang best sangat dengan tempat ni?

Anda hanya datang ke satu negara asia tapi Fisherman Wharf akan membawa anda mengembara ke beberapa negara lain. Sebab apa kami cakap macam tu?

Pelbagai bangunan yang berada di sini dibina mengikut senibina Portugis, Arab, Amsterdam, Afrika dan macam-macam lagi lah. Kalau rasa nak berangan pergi ke sana, boleh la bergambar di Fisherman Wharf ni. Pergi satu tempat, tapi rasa macam dah mengembara satu dunia. Bila lagi nak belanja kawan-kawan dengan gambar cantik di Instagram kan.

Di sini juga terdapat pelbagai kemudahan seperti restoran, pusat membeli-belah, dan beberapa buah ride untuk hiburan seisi keluarga. Kawasannya yang besar dan terletak di tengah-tengah bahagian Outer Harbour, memang akan buatkan kaki lenguh berjalan tapi sangat berbaloi untuk anda lawati!

Dah puas bergambar, perut mesti lapar. Anda boleh je terus ke restoran halal Taste of India yang terletak di situ. Makanan yang disediakan pula cukup mewah dan sedap. Siapa cakap nak cari makanan halal susah di negara bukan muslim? Kalau anda tahu tempatnya, mudah je untuk cari.

Love Lane

Bagi pasangan kekasih yang inginkan percutian anda lebih bermakna, kami yakin ini tempat terbaik untuk anda lawati bersama buah hati di bumi Macao. Menyusuri Travessa da Paixao atau nama romantiknya ‘Love Lane’ pasti meninggalkan memori indah bersama pasangan.

Jauh dari kesesakan orang ramai, tempat ini dikatakan memberi mood romantik bagi setiap pasangan mengabadikan kenangan mereka di lorong kecil berlatar belakangkan bangunan yang berwarna-warni ini. Disebabkan itulah ia digelar laluan kekasih. Jangan lupa perkara wajib di sini, ambil gambar anda bersama pasangan untuk diabadikan sebagai kenangan indah!

Tapak Warisan Dunia Macao : Satu Kenangan Yang Tak Dapat Dilupakan

Ruins of St Paul’s

Kalau anda nak tahu, Macao kaya dengan tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh UNESCO. Salah satunya adalah Ruins of St Paul. Dari Love Lane, anda boleh melihat bangunan bersejarah ini yang menjadi mercu tanda Macao. Jadi jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi sisa peninggalan warisan dunia yang menjadi kemestian bagi setiap pelancong untuk datang dan bergambar.

Sisa bangunan ini sebenarnya adalah runtuhan sebuah kompleks pada abad ke-16. Hasil runtuhan itu, maka lahirlah salah satu mercu tanda Macao yang terkenal. Jutaan manusia telah melahirkan rasa kagum akan keunikan dan keperincian lukisan di bangunan ini.

Senado Square

Seterusnya, anda boleh berjalan menuruni anak tangga ke Senado Square melalui bangunan-bangunan perniagaan pelbagai jenama. Kalau anda rasa terpegun dengan Ruins of St Paul, bangunan yang tersergam indah di Senado Square pula membawa anda seperti berada di dalam filem.

Nak lebih ‘feel’, berjalan-jalan lah di Senado Square pada waktu malam. Cahaya yang memantul pada setiap lampu di penjuru bangunan memang sangat ‘wow’. Suasananya seperti seakan berada di Eropah dengan susunan batu ‘cobble’ di lantai yang berwarna hitam putih berbentuk ombak dikelilingi bangunan gaya barat menjadi tarikan kepada kawasan itu.

 

Warna Warni Kota Macao : Persembahan dan Hiburan

The House of Dancing Water

Lokasi seterusnya pula adalah menikmati persembahan popular ‘The House of Dancing Water’ di ‘City Of Dreams’. Ini merupakan tempat wajib yang perlu anda kunjungi bersama keluarga. Pengunjung akan dihiburkan dengan pertunjukan air menerusi pelbagai visual interaktif yang menggabungkan akrobatik, tarian, teater dan muzik.

Semestinya ini bukan persembahan biasa, kerana pentas ‘House of Dancing Water’ diisi dengan 14 juta liter air di mana ia mampu bertukar daripada daratan ke lauatan dalam sekelip mata. Anda patut merasai sendiri pengalaman menakjubkan ini!

Kalau rasa nak berjalan-jalan di waktu malam pula, kami sarankan anda menikmati pemandangan indah di Nam Van Lake Cybernatic Fountain. Tempat nie bukan je dipenuhi dengan pelancong luar malah pelancong tempatan pun akan berkumpul di sini.

Sambil duduk di tepi sungai, anda boleh tengok pemandangan cantik, kilauan cahaya dan menikmati persembahan air pancut setinggi 80 meter. Anda pasti leka dan tidak jemu memandangnya kerana ada 86 jenis semburan air diterangi 288 buah lampu berwarna warni yang disediakan untuk tatapan anda.

Sebenarnya, tak habis lagi kalau kami nak kongsikan tempat menarik yang ada di Macao. Masih banyak lagi tempat yang boleh dilawati. Boleh dikatakan Macao ini kota yang serba lengkap.

Nak tengok panorama indah, nak makan sedap-sedap, nak belajar sejarah dan budaya, nak main aktiviti ‘best’, semua ada dalam satu tempat. Pendek kata, tak menyesal kalau anda pilih Macao sebagai destinasi percutian anda.

Jadi apa tunggu lagi, rasa dah tak sabar nak pergi? Klik website airasia.com sekarang untuk pilihan penerbangan tambang murah terbaik anda. Kalau anda nak tahu, tiket penerbangan ke Macao sekarang nie tengah murah tau! Anda takkan jumpa harga ni kat mana-mana. Tak kisah kalau anda di semenanjung atau di borneo, kedua-dua destinasi ini ada menyediakan penerbangan terus ke Macao.

Tempah sekarang hingga 2 September ini untuk mendapatkan harga promosi. Anda boleh pilih untuk terbang dari Kuala Lumpur ke Macao bermula hari ini sehingga 17 Februari 2019 atau dari Kota Kinabalu ke Macao dari 2 November sehingga 17 Februari 2019. Dengan serendah RM199, kota indah itu setia menanti kehadiran anda dengan tangan terbuka!

Untuk mendapat maklumat lanjut, layari Macao Tourism Malaysia.



Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.