Siakap Keli

Ada Suami Mengamuk Di Wad Bersalin, HSB Hentikan Perkhidmatan Peneman Ibu Bersalin

Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan pemberhentian serta merta kebenaran bagi peneman untuk ibu bersalin di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini seperti yang ditularkan di media sosial sebelum ini.

Pengarahnya Datuk Dr Norhizan Ismail  berkata pemberhentian itu adalah buat sementara waktu selepas kejadian seorang lelaki berusia 23 tahun bertindak mengamuk ekoran permohonan isterinya untuk bersalin secara pembedahan ditolak pihak hospital kerana tidak diperlukan, dalam kejadian pada 25 Ogos lalu.

Katanya larangan itu juga bagi membolehkan pihak HSB menyemak kembali prosedur kebenaran peneman kepada ibu bersalin agar kejadian sama tidak berulang selain bagi kerja-kerja membaiki kerosakan pada bahagian pintu bilik bersalin.

“Lelaki berkenaan bertindak menumbuk dan merosakkan pintu bilik bersalin.  Pihak pengawal keselamatan juga meminta suami pesakit untuk menunggu di luar selepas insiden berlaku  tetapi tidak diendahkan.

“Pihak hospital juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian ini dan suami berkenaan akan dipanggil untuk berbincang bagi mengenal  pasti sekiranya terdapat sebarang masalah yang menyebabkan beliau bertindak sedemikian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sumber: Bernama, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Hospital Sultanah Bahiyah

Nur Farra