Siakap Keli

Ustaz Kazim Serah Unit Tahfiz Al-Quran Al Barakah Kepada Pengurusan Baru

Unit Tahfiz Al-Quran Al Barakah di Pusat Pendidikan Al Barakah di Manjoi di sini, akan bertukar nama kepada Pusat Pengajian Al-Ulya setelah unit itu diambil alih oleh pengurusan baharu secara rasmi 1 Sept ini.

Persetujuan bagi pengambilalihan unit Tahfiz Al-Quran telah termeterai antara kedua-dua pihak dalam satu majlis kontrak penyerahan yang diadakan di pusat tersebut hari ini.

Pengasas dan Pengetua pusat berkenaan, Datuk Mohd Kazim Elias berkata selepas ini pengurusan baharu akan mengambilalih kemudahan, guru serta pelajar di unit tahfiz itu.

“Perjanjian yang ditandatangani termasuk mengenai pengambilalihan pelajar, pengurusan bangunan, perbelanjaan mengurus yang selepas ini di bawah tanggungan Pusat Pengajian Al-Ulya.

“Sementara bangunan itu masih hak milik Pusat Pendidikan Al Barakah, jadi kami membenarkan mereka menggunakannya (bangunan) selama tiga tahun (kontrak). Sekiranya bangunan itu dijaga dengan kita akan sambung (kontrak),”katanya.

Pada Julai lalu, Mohd Kazim mengesahkan akan menjual unit tahfiz tersebut kerana mempunyai masalah kewangan. Pusat Pendidikan Al-Barakah yang beroperasi pada 2006 mempunyai tiga unit iaitu Tahfiz Al-Quran, Pondok Pengajian Dewasa dan Tadika Nurul Barakah.

Mengulas lanjut, Mohd Kazim yang juga penceramah bebas berkata beliau yakin barisan pengurusan baharu dapat menguruskan unit tahfiz itu dengan baik yang mungkin memandangkan mereka mempunyai kelulusan tahfiz.

“Mereka (pengurusan baharu) lapisan anak-anak muda ini mempunyai semangat. Walaupun mereka baru menubuhkan Pusat Pengajian Al-Ulya tetapi sebenarnya mereka terdidik dengan hafazan Al- Quran serta mempunyai pendidikan yang bagus,” katanya.

Menurut Mohd Kazim, selepas ini pihaknya akan menumpukan perhatian kepada penubuhan asal iaitu pengajian pondok yang mempunyai ratusan pelajar.

Sementara itu, Pengetua Pusat Pengajian Al-Ulya, Mohd Azhar Abd Latif berkata kemungkinan pihaknya akan melakukan sedikit pengubahsuaian terhadap silibus yang sedia ada bagi memberi peluang kepada pelajar menumpukan perhatian kepada hafazan Al-Quran.

“Tapi InsyaAllah pengajian akademik, pengajian asas agama itu kita akan teruskan,” katanya.

Menurut Mohd Azhar, pihaknya juga akan memanggil ibu bapa pelajar Oktober ini untuk menerangkan keadaan semasa pusat pengajian itu selain menyerahkan surat setuju terima sekiranya masih mahukan anak-anak mereka meneruskan pengajian di sini untuk sesi tahun depan. – Bernama

Nur Farra

writ.er / [rahy-ter]
-noun
1. a peculiar organism capable of transforming caffeine into books.

Tambah komen

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di