Siakap Keli

Datuk Bandar KL Sah Letak Jawatan

Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad hari ini mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz pada 1 Sept lepas. Katanya beliau belum memberi jawapan terhadap surat bernotis 30 hari berkenaan kerana berpandangan perkara tersebut perlu dipertimbangkan terlebih dahulu selain turut bergantung pada isu pengganti.

“Saya difahamkan surat peletakan itu dibuat kerana beliau (Mhd Amin Nordin) rasa dah lama sangat dalam DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) (iaitu ) selama 40 tahun. Sekarang beliau memikirkan tumpuan masa untuk bersama keluarga. “…dan kita hormati hasrat beliau serta menghargai sumbangannya.

Sekarang kita (kementerian) kena mainkan peranan untuk mencari pengganti yang sesuai,” katanya pada sidang media di Menara DBKL di sini. Khalid berkata perkara itu akan dibawa ke mesyuarat kabinet minggu depan.

Mengulas lanjut, Khalid berkata proses pemilihan Datuk Bandar yang baharu itu juga tidak akan melalui proses pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) sebaliknya melalui perbincangan antara beliau dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta jemaah menteri. “…serta proses akan angkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong kalau ia (pelantikan baharu) berlaku,” katanya. Mhd Amin Nordin, Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-11, mempunyai pengalaman selama 38 tahun dalam pentadbiran kerajaan tempatan dan pengurusan perbandaran terutamanya di DBKL.

Beliau memulakan perkhidmatannya sebagai timbalan pengarah di Jabatan Landskap DBKL pada 1978 ketika berusia 22 tahun. Beliau pernah berkhidmat di bawah pentadbiran 10 orang Datuk Bandar Kuala Lumpur, termasuk di bawah Allahyarham Tan Sri Elyas Omar sebagai pegawai khasnya selama empat tahun. – BERNAMA

Nur Farra