Siakap Keli

(Video) Selepas Dibadai Taufan, Jepun Digegarkan Pula Dengan Dua Gempa Bumi Kuat Korbankan Banyak Nyawa

Sehari selepas dilanda Taufan Jebi yang menyaksikan jutaan penduduk terjejas, Jepun sekali lagi berhadapan dengan bencana alam apabila dua gempa bumi menggegar beberapa wilayah di negara matahari terbit itu.

Menurut laporan media antarabangsa, gempa bumi pertama melanda wilayah Sapporo serta Pulau Hokaido awal pagi tadi yang menyaksikan seorang warga emas terkorban dan 10 orang lagi cedera.

Mangsa yang terkorban berusia 82 tahun, maut selepas terjatuh tangga ketika cuba menyelamatkan diri daripada gempa bumi yang berkekuatan 6.7 magnitud.

Memetik laporan daripada Express UK, gempa yang sama turut menjejaskan beberapa buah perkampungan antaranya Kampung Atsumi yang menyaksikan beberapa buah rumah terkambus akibat kejadian tanah runtuh. Sekurang-kurangnya empat kejadian tanah runtuh dilaporkan sehingga kini.

Sebuah lagi portal berita tempatan versi bahasa Inggeris, Kyodo News melaporkan sekurang-kurangnya 32 mangsa hilang akibat terkambus dalam kejadian tanah runtuh. Kesemua mangsa yang hilang merupakan penduduk di perkampungan Atsuma.

Dalam pada itu, Pusat Tinjauan Geologikal Amerika Syarikat memaklumkan bahawa pusat gempa bumi itu berada 112 kilometer tenggara Sapporo.

Manakala gempa susulan pula melanda bahagian utara Pulau Hokaido dengan kekuatan 5.4 magnitud. Gempa berkenaan dikatakan berpusat pada 29 kilometer timur Tomakomai, wilayah berpantai di Pulau Hokaido.

Walaupun tiada amaran tsunami yang dikeluarkan, bagaimanapun Agensi Meteorologikal Jepun turut mengeluarkan amaran peningkatan paras air laut dan amaran berjaga-jaga terutama di wilayah berdekatan dengan laut.

Pembekal tenaga elektrik Hokaido turut memaklumkan bahawa gempa yang sama menyaksikan seramai 2.95 juta penduduk terjejas akibat terputus bekalan tenaga elektrik.

Selain itu katanya, gempa bumi yang sama turut menjejaskan operasi beberapa reaktor nuklear di Hokaido yang ketika ini cuba disejukkan menggunakan bekalan kuasa kecemasan selepas bekalan tenaga utama terputus, menurut pihak berkuasa Kawalan Nuklear Jepun.

Jepun merupakan sebuah negara yang terletak di atas satu kawasan yang dikenali sebagai ‘Ring of Fire’, sebuah kawasan yang dikenali laut dan gunung berapi dengan ancaman gempa bumi.

Kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan kejadian gempa bumi berkekuatan 6.0 magnitud ke atas dilaporkan berlaku di kawasan ini. Jepun ketika ini masih lagi dalam proses pemulihan akibat Taufan Jebi yang melanda wilayah barat Jepun.

Sumber : Express UK, Channel News Asia, Kyodo News

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.