Siakap Keli

(Video) Lelaki Syria Masih ‘Terperangkap’ Di KLIA2, Diajak Kahwin Pun Tak Nak, Tunggu Imigresen Kanada Bawa Keluar Dalam Masa 26 Bulan Lagi

Seorang lelaki warga Syria dipercayai telah terkandas di terminal Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang selama lebih sebulan. Kes yang terjadi ini hampir menyamai jalan cerita sebuah filem arahan Steven Spielberg yang bertajuk The Terminal.

Hassan al Kontar, 36, mendakwa dirinya tinggal di lapangan terbang tersebut sejak 7 Mac lalu kerana bimbang ditangkap dan dihantar pulang ke Syria yang sedang dalam keadaan darurat dan perang.

Lelaki itu memuat naik  video mengenai kehidupan sehari-harinya di laman Twitter dan Facebook sehingga menarik perhatian kumpulan hak asasi manusia dan media.

“Saya bimbang diusir ke Syria, bukan kerana saya penakut, bukan kerana saya tidak tahu bagaimana berjuang, tetapi kerana saya tidak percaya dengan pertempuran.



“Saya tidak mahu menjadi mesin pembunuh, memusnahkan rumah sendiri dan menyakiti rakyat sendiri.”

Manakala, Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak lapangan terbang tidak menjawab permohonan untuk mengulas. Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan bertemu Hassan, namun berkata, pihaknya tidak dapat mengulas kes individu.

“UNHCR sedar kes ini dan sudah menghubungi individu dan pihak berkuasa,” kata Yante Ismail, jurucakap agensi itu di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan.

Hassan yang merupakan bekas jurujual insurans berkata, dia tinggal di Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila perang meletus di Syria. Dia mendakwa diusir ke Kuala Lumpur pada 2016 selepas kedutaan Syria di UAE enggan memperbaharui pasportnya.

“Mereka mengusir saya ke Malaysia kerana ia antara segelintir negara yang menerima rakyat Syria tanpa visa,” katanya.

Dia mengambil masa lebih setahun sebelum mengumpul wang mencukupi untuk membeli tiket penerbangan ke Ecuador, namun syarikat penerbangan enggan membenarkannya masuk. Bagaimanapun, dia tidak menjelaskan bagaimana mengumpul wang.

Lelaki itu, sebaliknya cuba terbang ke Kemboja, namun sekali lagi ditolak pihak berkuasa imigresen dan diusir ke Kuala Lumpur. Katanya, dia sudah tinggal di zon transit KLIA2 selama 6 bulan, bergantung kepada kebaikan kakitangan lapangan terbang dan syarikat penerbangan untuk makanan serta bekalan keperluan lain.

Kami pernah menulis tentang Hassan pada April lalu, namun sehingga kini Hassan masih ‘mendiami’ lapangan terbang tersebut.  Kisah Hassan telah tersebar hingga ke Kanada dan sekumpulan sukarelawan telah membantunya melepasi kelulusan peringkat pertama untuk dia berpindah ke sana.

Pun begitu, Hassan masih perlu menunggu kelulusan peringkat ke dua bagi membolehkannya keluar daripada lapangan tersebut dalam masa 26 bulan lagi.  Ya, ia satu tempoh yang lama baginya tapi, tiada apa yang dapat membantunya lagi selain menunggu.

Sumber: Nas Daily, Metro UK

Nur Farra