Siakap Keli

Rendam Kaki Di Spa Ikan Tercemar, Wanita Tak Sangka Boleh Hilang Semua Jari Kaki Kanan

Seorang wanita tidak menyangka akan kehilangan kesemua jari kaki kanannya selepas mencuba merendam kaki di sebuah spa ikan ketika sedang bercuti di Thailand.

Sebelumnya, Victoria Curthoys, 29, mengalami jangkitan tulang di jari kaki kanannya kerana terkena kaca pada tahun 2006 sebelum doktor memotong bahagian yang terjejas dan dia pulih sepenuhnya.

Ketika wanita yang berasal dari Perth, Australia ini bercuti ke Thailand pada tahun 2010, dia memutuskan untuk mencuba spa ikan yang menjadi popular sekitar sedekad yang lalu.

Rawatan spa ikan itu  memerlukan individu untuk merendam kaki ke dalam kolam yang mengandungi beratus-ratus ikan Garra rufa, spesies ikan kecil yang berasal dari sungai, kolam, sungai dan tasik di Asia Barat dan Anatolia selain dipercayai boleh mengurangkan gejala ekzema dan psoriasis.

Namun, tanpa disedari, spa ikan yang dikunjungi  Victoria telah tercemar dengan penyakit bawaan air yang kemudiannya telah menjangkiti bahagian jarinya yang pernah dibedah.

“Ketika saya di Thailand saya memutuskan untuk menggunakan spa ikan. Saya tak fikir apa-apa kerana saya tengok pemilik menubuhkan sistem itu dan ia kelihatan sangat bersih, tapi saya salah,” ujar Victoria.

Jangkitan tersebut telah membuatkan dia menderita demam berpanjangan dan penyakit lain. Setelah setahun menjalani ujian, seorang doktor akhirnya mendiagnosis Victoria dengan osteomielitis iaitu keadaan serius melibatkan jangkitan tulang yang jarang berlaku.

Meskipun dua tahun kemudian ibu jari kaki Victoria telah dipotong sepenuhnya, namun tindakan itu tetap tidak sepenuhnya menghalang jangkitan dari terus berlaku.

Pada akhirnya, para doktor kemudian memberitahu Victoria bahawa dia tidak mempunyai pilihan lain selain memotong semua jari di kaki kanannya, satu prosedur yang mengambil masa lima tahun untuk diselesaikan.

Pada November tahun lalu, jari kaki kanannya yang terakhir telah dipotong dan Victoria memuat naik gambar-gambar kakinya untuk memberi kesedaran kepada orang lain mengenai bahaya spa ikan.

“Saya boleh katakan bahawa kaki saya tidak pernah sihat seperti sekarang. Sekarang saya boleh meletakkan tekanan pada kaki saya,” jelas Victoria.

“Saya bagaimanapun sedar ramai yang mengalami kecederaan yang jauh lebih teruk dan penyakit yang mengubah hidup, jadi saya anggap diri saya bertuah.

“Dengan mengambil gambar kaki saya dan menyiarkannya di Instagram saya berharap dapat membina keyakinan diri dan memberi impak positif kepada orang lain yang mungkin tidak gembira dengan keadaan kaki mereka selepas dipotong,” katanya.

Rawatan spa ikan ini menjadi dikenali pada akhir 2010 namun semakin diragui berikutan kebimbangan dari aspek kesihatan dan kebajikan haiwan yang terlibat.

Sumber- MirrorUk

Aisha Ratnila

"Don't be distracted by criticism. Remember the only taste of success some people get is to take a bite out of you."

- Zig Ziglar

Tambah komen

Sumbang Artikel Anda

Anda suka menulis dan berkongsi? Tetapi tiada medium yang sesuai? Anda dialu-alukan untuk menulis di Siakap Keli sekiranya penulisan anda itu suatu perkara yang manfaat.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di