Siakap Keli

Kabinet Setuju Turunkan Had Umur Mengundi, Mungkin Dikuatkuasa PRU Akan Datang

Sebuah portal berita tempatan berbahasa Inggeris hari ini melaporkan Kabinet Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Keputusan yang dicapai oleh Kabinet dalam mesyuarat pada 19 September itu didedahkan oleh Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, seperti yang dilaporkan oleh portal berita berkenaan.

Syed Saddiq bagaimanapun berkata keputusan tersebut masih perlu menunggu pindaan terhadap Perlembagaan sebelum dapat dikuat kuasakan.

Portal berita berkenaan turut berkata antara perkara yang perlu dilakukan ketika ini adalah bekerjasama dengan blok pembangkang memandangkan sebarang pemindaan terhadap Perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga Parlimen.

Bagaimanapun Syed Saddiq menjangkakan bahawa semua proses akan diselesaikan sebelum pilihan raya akan datang bagi membolehkan pengundi muda berusia 18 tahun pada waktu tersebut boleh keluar membuang undi.

Lapor portal itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa semua parti politik akan bersetuju dengan hasrat kerajaan tersebut selain beliau turut sudah mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil pemuda parti pembangkan sebelum ini.

Mengikut perlembagaan Malaysia, usia 18 tahun dianggap sebagai usaha yang sah dari segi undang-undang termasuk dalam hal ehwal perkahwinan, lesen memandu dan menandatangani sebarang kontrak.

Di beberapa buah negara maju misalnya Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia sudahpun menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun. Di Asia Tenggara, negara seperti Indonesia, Thailand dan Filipina sudahpun melaksanakan perkara tersebut.

Hanya Malaysia dan Singapura yang masih mengekalkan had umur mengundi pada 21 tahun.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.