Siakap Keli

Insiden Tanah Runtuh Berganda Filipina Ragut 95 Nyawa, 59 Masih Hilang

MANILA, 24 Sept (Bernama) — Angka kematian dalam dua insiden tanah runtuh besar-besaran yang melanda Filipina minggu lepas telah meningkat kepada 95 orang, kata pihak berkuasa.

Menurut agensi berita China Xinhua, setakat Ahad malam, pada pegawai berkata 49 mayat telah dikeluarkan dari runtuhan di pekan pelombongan Itogon, wilayah Benguet di utara Filipina.

Baki mayat selebihnya dikeluarkan dari kawasan tanah runtuh yang melanda komuniti di kaki sebuah tapak kuari di Naga City dalam wilayah tengah Cebu, Filipina.

Di Itogon, para pegawai berkata sekurang-kurangnya 19 orang masih hilang selepas lumpur dan bongkah batu besar menimpa sebuah bangunan tempat pekerja tidur yang menempatkan berpuluh-puluh pelombong berskala kecil dan keluarga mereka yang berlindung di situ selepas taufan super Mangkhut membadai Pulau Luzon pada 15 Sept.

Para penyelamat meneruskan usaha mereka untuk mengesan 40 orang yang masih hilang dalam insiden tanah runtuh di Naga City yang menimbus kira-kira 30 rumah pada pukul 6 pagi Khamis lepas.

Pegawai terbabit berkata terdapat hampir 200 kematian akibat taufan Mangkhut dan insiden tanah runtuh berganda yang melanda Filipina minggu lepas.

Hampir 1.6 juta petani dan komuniti nelayan terjejas akibat badaian Mangkhut, taufan terkuat yang melanda bukan sahaja Filipinan malah negara lain di rantau sama tahun ini.

Data menunjukkan bahawa 80 hingga 90 peratus tanaman padi dan jagung musnah di kawasan terjejas, bukan hanya menjejaskan bekalan makanan malah memberikan tekanan kepada petani miskin yang mengharapkan hasil tuaian mereka.

Mata pencarian lain seperti pelombongan turut terjejas teruk akibat badaian taufan itu.

Filipina adalah sebuah negara yang paling terdedah kepada bencana alam di dunia.

Setiap tahun, purata 20 siklon tropika melanda Filipina, menyaksikan enam atau tujuh daripadanya menyebabkan kerosakan yang ketara.

Pada 2013, taufan super Haiyan memusnahkan Filipina tengah dan meragut nyawa lebih 6,000 orang.

Pada 2009, taufan Ketsana telah menyebabkan banjir besar di Metro Manila dan meragut nyawa lebih 700 orang.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.