Siakap Keli

”Jangan Timbulkan Bibit-Bibit Islamofobia”, Mufti Bimbang Persepsi Buruk Kaitkan Kesalahan Individu Dengan Institusi Tahfiz

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui siri tweetnya di laman sosial Twitter menyatakan kebimbangannya mengenai beberapa isu membabitkan kes liwat yang menyelubungi institusi pendidikan Islam, sekolah tahfiz yang menjadi perbualan hangat masyarakat pada hari ini.

Harapan beliau adalah tiada pihak yang mengambil kesempatan dengan kejadian ini untuk menimbulkan bibit-bibit kebencian terhadap Islam atau Islamofobia terutamanya melalui desakan-desakan yang mahukan sekolah tahfiz ditutup.

”Institusi tahfiz sewajarnya dihormati dan kesalahan individu tidak wajar dikaitkan dengan institusi berkenaan sebagaimana pepatah Melayu, “Marahkan nyamuk, kelambu dibakar.” Membina persepsi dan spekulasi terhadap institusi berkenaan hanya menyuburkan bibit Islamofobia yang sepatutnya tidak berlaku di negara umat Islam berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun pihaknya sejak dahulu sangat konsisten dalam memperjuangkan keadilan dan menentang sebarang salah laku yang berlaku dalam institusi-institusi pendidikan agama Islam.

”Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) sejak daripada dahulu sentiasa konsisten menentang sebarang bentuk manipulasi, penderaan, ketidakadilan dan penindasan kepada kanak-kanak. Ini melalui kenyataan kami antaranya pada 8 Mac 2017 berhubung Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak,” katanya lagi.

Ujar beliau lagi, adalah lebih wajar sekiranya orang ramai terus bersabar dan menanti siasatan polis serta hukuman yang dikeluarkan oleh mahkamah terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan kerana dibimbangi akan mencetuskan polemik yang lebih besar.

Orang ramai juga katanya diharap menggunakan kebijaksanaan akal dan ilmu bagi mendepani isu seperti ini supaya tidak dipandu oleh emosi yang mengatasi simpati dan empati.

Beliau pada masa yang sama turut berpendapat bahawa sudah tiba masanya pembaharuan dijalankan terhadap pengurusan pentadbiran sekolah-sekolah tahfiz.

Antara cadangan yang diutarakan adalah ahli parlimen melantik pasukan pemantau yang akan bertugas memantau pentadbiran sekolah tahfiz yang terdapat di kawasan mereka. Beliau juga berpendapat bahawa Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) yang ada ketika ini hendaklah terus diperkasa fungsinya.

Tegasnya lagi, keadilan adalah selama-lamanya tunjang yang utuh di dalam Islam walaupun terhadap individu yang dibenci.

”Sejujurnya kita akui bahawa institusi tahfiz seperti mana-mana insitusi pendidikan yang lain, ada kelemahan yang perlu diperbaiki. Kami amat menyayangi para guru, pentadbir dan pelajar-pelajarnya.

”Kita letakkan sepenuh kepercayaan kepada mahkamah. Semoga mendung ini bakal berlalu dan menghadirkan sinar kecemerlangan buat institusi tahfiz di Malaysia,”

Sumber : Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.