Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Sultan Pahang Yakin Pendidikan Tahfiz Mampu Lahirkan Pakar, Pemimpin Dalam Bidang Strategik
KUANTAN, 15 Jun (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yakin pendidikan tahfiz di negeri ini mampu melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang agama, malah menjadi pakar dan pemimpin dalam pelbagai bidang strategik pada masa depan.
Baginda bertitah generasi huffaz mempunyai potensi besar untuk menceburi bidang seperti perubatan, kejuruteraan, teknologi, kecerdasan buatan, ekonomi dan kepimpinan negara, selaras dengan keperluan dunia yang semakin mencabar serta dipacu kemajuan teknologi.
"Dengan asas al-Quran yang kukuh, mereka mampu tampil sebagai pemimpin masa hadapan bukan sahaja cemerlang dari sudut profesionalisme, malah teguh pegangan agama, berakhlak mulia dan mempunyai integriti tinggi," titah baginda pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang 2026, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan anugerah kepada 48 pelajar tahfiz yang cemerlang dalam bidang akademik, hafazan dan kokurikulum.
Al-Sultan Abdullah bertitah kejayaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang yang tersenarai dalam kelompok tiga sekolah terbaik di Malaysia bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 membuktikan kecemerlangan sistem pendidikan tahfiz negeri itu.
“Pencapaian tersebut memperlihatkan kejayaan melahirkan generasi huffaz yang seimbang antara kecemerlangan penghayatan agama dan akademik, dan hasrat saya untuk melihat maahad tahfiz ini menjadi sebuah institusi pendidikan tahfiz terulung di Malaysia telah menjadi kenyataan,” titah baginda.
Sultan Pahang turut bertitah penubuhan Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) merupakan langkah signifikan dan bersejarah dalam memperkukuh ekosistem pendidikan Islam di negeri itu.
Baginda bertitah universiti itu bakal menjadi mercu tanda baharu pembangunan ilmu berteraskan al-Quran serta menyediakan laluan pendidikan lebih menyeluruh kepada para huffaz untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa meninggalkan identiti pendidikan al-Quran yang dibina sejak di bangku sekolah.
"Saya percaya usaha ini akan memperkukuh ekosistem pendidikan Islam di Pahang, sekali gus menjadikan negeri ini sebagai peneraju pendidikan tahfiz dan pengajian al-Quran di Malaysia," titah baginda.
Baginda turut menegaskan kerajaan negeri akan terus komited mengangkat martabat akademik al-Quran di semua peringkat pendidikan bagi melahirkan lebih ramai ilmuwan, profesional dan pemimpin yang berteraskan nilai al-Quran demi agama, bangsa dan negara.