Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

MOF Kesan Beberapa Aspek Ketidakaturan Dalam Perolehan Tender Kerajaan - KSP
PUTRAJAYA, 15 Jun (Bernama) — Kementerian Kewangan (MOF) mengesan ketidakaturan dalam proses perolehan tender kerajaan menerusi amalan penyediaan spesifikasi tender yang menjurus kepada vendor tertentu, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Tan Sri Johan Mahmood Merican.
Beliau berkata terdapat insiden yang menunjukkan proses tender pada awalnya kelihatan kompetitif namun selepas penilaian kewangan dan teknikal dibuat hanya satu syarikat yang layak kerana spesifikasi yang ditetapkan menjurus kepada vendor tertentu.
Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan telah menghentikan amalan rundingan terus bagi perolehan tender kerajaan.
“Sekarang hampir kesemua perolehan dilaksanakan secara tender tetapi sedia maklumlah, Malaysia ini agak kreatif dan bila dilaksanakan semua tender.
“Kita melihatlah ada banyak insiden di mana tender itu nampak cantik tetapi lepas penilaian kewangan, penilaian teknikal, tinggal seorang saja dan semua spesifikasi itu menjurus pada satu vendor,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan Badan Berkanun Malaysia 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Hadir sama Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) merangkap Yang Dipertua Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PBBM) Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Mengulas lanjut, Johan berkata perkara berkenaan dikesan berulang kali membabitkan beberapa agensi dan Perdana Menteri mengambil pendirian tegas terhadap perkara yang berlaku ini.
“Ini saya tidak akan sebut kalau hanya sekali; MOF melihat perkara ini tetapi perkara ini berlaku di pelbagai agensi termasuk juga di MOF juga.
“Yang ini, Perdana Menteri mengambil pendirian tegas sebagai sebahagian daripada agenda untuk pembaharuan tatakelola perolehan kerajaan,” katanya.
Johan berkata kerajaan telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 yang memperkukuh aspek akauntabiliti dan tindakan penguatkuasaan.
“Jika sebelum ini isu perolehan kerajaan hanya isu pentadbiran, kalau dah bersara tidak boleh ambil tindakan lagi tetapi sekarang dengan RUU Perolehan Kerajan, saya (juga) tak terselamat selepas bersara.
“(Saya) juga bakal kena tindakan punitif jika saya melaksanakan mana-mana ketidakaturan perolehan kerajaan. Itulah antara pendekatan untuk meningkatkan peraturan dan tatakelola perolehan,” katanya.
Sementara itu, Johan berkata badan-badan berkanun merupakan institusi utama dalam landskap pentadbiran dan pembangunan negara.
“Peranan yang dimainkan bukan sahaja melibatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat malah turut menjadi pemacu kepada pembangunan ekonomi, inovasi, pendidikan, pelaburan dan kesejahteraan sosial negara,” katanya.
Bertemakan “Badan Berkanun & Aspirasi Negara: Mencorak Masa Hadapan” persidangan anjuran PBBM dengan kerjasama MPOB dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjadi platform strategik untuk membincangkan peranan badan berkanun dalam mendukung agenda pembangunan negara melalui pengukuhan tadbir urus, kepimpinan, transformasi organisasi, reformasi sektor awam dan pendigitalan perkhidmatan.