Siakap Keli
KUALA LUMPUR, 25 Sept -- Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad ketika menandatangani plak pelancaran Pusat Mediasi Komuniti Srata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Lorong Bunus hari ini. Penubuhan pusat mediasi dibina khusus untuk komuniti strata adalah satu mekanisme setempat untuk penyelesaian permasalahan atau pertikaian di antara dua belah pihak yang wujud di kalangan penghuni kediaman berstrata. -- fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Semua Tahfiz Tidak Berdaftar Di KL Akan Ditutup

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup semua pusat tahfiz yang didapati tidak berdaftar dengan pihak berkuasa dan beroperasi secara haram, kata Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad .

Katanya ia bagi memastikan  keselamatan dan kebajikan pelajar-pelajar terjamin serta imej institusi keagamaan Islam terpelihara .

“Kami tidak mahu pusat-pusat tahfiz ini diberi kelonggaran hanya kerana ia institusi keagamaan, ia tetap juga perlu berdaftar dengan DBKL dan JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan). 

“Kami juga akan mengetatkan syarat kepada sekolah-sekolah berasrama khususnya sekolah tahfiz bagi menjaga kualiti daripada aspek keselesaan dan keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Mediasi Komuniti Strata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PMKS WPKL) di sini, hari ini.

Katanya adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memeriksa status pusat-pusat tahfiz sekiranya berhasrat untuk menghantar anak-anak mereka ke institusi itu.

“Selain itu, DBKL turut akan bekerjasama dengan JAWI memantau kesemua pusat tahfiz yang masih beroperasi di sekitar ibu kota. 

“Sekiranya didapati tidak berdaftar, kami tidak akan teragak-agak untuk menutupnya,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata pihaknya tiada kuasa untuk menutup tahfiz haram di Kuala Lumpur kerana ia di bawah kuasa DBKL.

Ia susulan sebuah pusat tahfiz di Kepong yang mana pengetuanya ditahan polis kerana dipercayai meliwat sembilan pelajarnya berusia 11 hingga 16 tahun dan pusat tahfiz itu didapati beroperasi secara haram.

Sementara itu, Khalid berkata PMKS WPKL akan bertindak sebagai mekanisme setempat dalam penyelesaian masalah atau pertikaian dalam kalangan penghuni kediaman berstrata jika melibatkan perkara-perkara di luar parameter Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

“Contoh masalah strata iaitu kejiranan, bunyi bising dan bau, sempadan, perebutan tempat letak kereta, pembuangan sampah akan diuruskan dengan bantuan mediator. 

“Seramai 19 mediator komuniti daripada Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional akan mengendalikan kes-kes strata yang dibawa ke PMKS,” katanya.

Katanya terdapat 5,859 kawasan pemajuan berstrata yang melibatkan 494,263 petak yang mana sejumlah 1.2 juta warga kota terdiri daripada komuniti berstrata.

“Oleh itu, mereka yang menghadapi masalah boleh merujuk kepada PMKS untuk menyelesaikannya dan sekiranya kes itu tidak dapat diselesaikan barulah dibawa ke pihak polis ataupun mahkamah,” katanya.

Katanya PMKS akan mula beroperasi pada Oktober ini selama tiga hari iaitu Isnin, Rabu dan Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang di Menara PT80 di sini.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Sumbang Artikel Anda

Anda suka menulis dan berkongsi? Tetapi tiada medium yang sesuai? Anda dialu-alukan untuk menulis di Siakap Keli sekiranya penulisan anda itu suatu perkara yang manfaat.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di