Siakap Keli

Indonesia : Petugas Pusat Kawalan Udara Maut Selepas Selamatkan Ratusan Penumpang Diberi Penghormatan Sebagai Wira

Seorang pengawal trafik udara di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufrie, Palu di Indonesia dijulang sebagai wira selepas tindakannya yang sanggup mengorbankan nyawanya sendiri demi memastikan sebuah kapal terbang yang memuatkan ratusan penumpang dapat berlepas ketika daerah tersebut dilanda gempa bumi pada Jumaat malam lepas.

Anthonius Gunawan Agung, 21, maut selepas terjun daripada tingkat empat menara kawalan dalam usahanya menyelamatkan diri selepas dua gempa bumi berkekuatan 6.1 dan 7.5 magnitud menggegarkan beberapa daerah di Pulau Sulawesi, termasuk Palu sehingga mencetuskan bencana tsunami.

Menurut laporan media antarabangsa, gempa bumi berkenaan telah menyebabkan landasan di lapangan terbang berkenaan rosak dengan rekahan turut kelihatan di landasan untuk kapal berlepas.

Ketika kejadian Gunawan sedang bertugas bersama beberapa rakannya yang lain, namun kesan gempa hingga menyebabkan menara pusat kawalan bergegar dan bergoyang dengan kuat hingga menyebabkan semua staf di situ bertempiran lari. Berbanding lari menyelamatkan nyawanya, Gunawan kekal bertahan seorang diri dan membantu juruterbang pesawat Batik 6321 untuk berlepas dengan selamat.

Sebaik sahaja kapal berlepas, Gunawan dilaporkan bergegas untuk menyelamatkan diri namun berhadapan kesukaran untuk keluar melalui jalan yang biasa digunakan selain ancaman ditimpa runtuhan bangunan menara kawalan yang sedang bergoyang. Gunawan kemudian nekad untuk keluar daripada menara empat tingkat berkenaan dengan terjun melalui tingkap.

Gunawan yang dijumpai dalam keadaan ecedera parah segera dikejarkan ke hospital selepas mengami kecederaan dalaman yang serius selain turut patah beberapa bahagian badan. Pihak hospital berkenaan cuba mendapatkan perkhidmatan helikopter untuk memindahkan Gunawan ke sebuah hospital yang lebih besar kerana keadaan Gunawan yang cedera parah memerlukan rawatan pakar. Namun dia disahkan meninggal dunia, Sabtu pagi, sebelum ketibaan helikopter berkenaan.

Jurucakap AirNav Indonesia, Yohannes Sirait  berkata, keberanian Gunawan menyebabkan dia kehilangan nyawa namun pada masa yang sama berjaya menyelamatkan nyawa ratusan yang lain.

Jasad Gunawan turut diberi penghormatan tertinggi dengan adat istiadat ketenteraan dan diiringi ratusan orang ke tanah perkuburan. Majikan Gunawan juga menaikkan pangkatnya sebagai tanda penghargaan ke atas pengorbanannya.

Kesan gempa bumi yang menyebabkan berlakunya kejadian tsunami pada Jumaat telah meragut sekurang-kurangnya 400 orang dan mencederakan seramai 540, hanya di Palu sahaja. Timbalan Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dalam satu kenyataan tidak menolak kemungkinan bahawa jumlah kematian boleh mencecah sehingga ribuan orang.

Usaha mencari dan menyelamat juga mengalami kesukaran ketika ini memandangkan kawasan-kawasan yang terlibat sukar diakses selain jaringan sistem komunikasi yang terjejas.

Sebelum ini, pasukan penyelamat dilaporkan bimbang dengan keadaan dan jumlah kematian di sebuah perkampungan nelayan di Donggala yang terletak lebih dekat dengan pusat gempa bumi kerana masih tidak dapat diakses. Selain itu, perkampungan Mamuju juga dijangka turut berhadapan dengan kerosakkan yang teruk namun sehingga kini pasukan penyelamat masih gagal untuk mencari jalan menuju ke sana.

Media antarabangsa juga melaporkan bahawa agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengeluarkan amaran tsunami telah dikritik dunia kerana tindakan mereka menarik balik amaran tsunami selepas 34 minit dikeluarkan kerana mungkin telah menyebabkan berlakunya kekeliruan dalam kalangan penduduk dan jumlah kematian yang meningkat.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=1Y4rGW7Qlp0]

 

Sumber : Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.