Siakap Keli

Lebih 200 Gempa Susulan Terus Gegarkan Sulawesi Tengah

JAKARTA, 30 Sept (Bernama) — Lebih 200 gempa susulan berterusan berlaku di Sulawesi Tengah selepas gempa bermagnitud 7.4 Skala Richter menggoncang Kota Palu dan Donggala pada Jumaat.

Menurut data Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia, sebanyak 201 gempa susulan bermagnitud 2.9 hingga 6.2 Skala Richter dicatatkan berlaku sehingga 10 pagi ini.

Keadaan itu menyukarkan lagi kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan bangunan dan rumah.

Setakat malam tadi, mengikut data Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) sebanyak 410 mangsa disahkan terkorban, beratus cedera manakala ribuan rumah dan bangunan runtuh akibat gempa dan tsunami itu.

Gempa bumi bermagnitud 7.4 Skala Richter menggoncang Sulawesi Tengah pukul 5.02 petang Jumaat yang turut menyebabkan berlakunya tsunami setinggi lebih tiga meter di pantai Palu dan Donggala.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata jumlah korban dikhuatiri terus meningkat ketika usaha mencari dan menyelamat mengalami pelbagai kesukaran.

“Pasukan mencari dan menyelamat mengalami pelbagai kesukaran berikutan kekangan akses komunikasi, bekalan elektrik dan akses jalan raya rosak teruk,” katanya dalam satu kenyataan.

Sutopo berkata usaha pendataan mangsa yang terkorban juga tidak dapat dikumpulkan dengan cepat akibat kekangan telekomunikasi dan akses jalan ke kawasan yang teruk akibat gempa dan tsunami itu.

Beliau berkata lebih 30,000 penduduk Sulawesi Tengah kini berada di pusat-pusat pemindahan sementara, selain menyelamatkan diri ke kawasan tanah tinggi.

“Ramai penduduk berada di kawasan bukit berikutan trauma dengan gempa dan tsunami.

“Mereka tidur di jalan raya. Mereka amat memerlukan bantuan bekalan air bersih, makanan, selimut dan ubat-ubatan,” katanya.

Beliau berkata fokus pasukan penyelamat kini di Hotel Roa Roa setinggi lapan tingkat yang runtuh, pantai Palu, pantai Pantai Talise, dan Perumahan Balaroa.

Sementara itu, menurut laporan agensi berita Antara, lapangan terbang Mutiara SIS Al Jufri Palu, Sulawesi Tengah mula dibuka hari ini, yang lebih menjurus kepada penerbangan mencari dan menyelamat, penerbangan kecemasan dan kemanusiaan.

Pengurus Hubungan Masyarakat AirNav Indonesia, Yohanes Sirait berkata penerbangan di lapangan terbang itu menggunakan sistem manual berikutan mengalami kerosakan teruk akibat gempa.

Berdasarkan video dan foto yang dikongsi dalam media sosial, mayat-mayat mangsa yang terkorban bergelimpangan di jalan raya dan di kawasan kediaman Kota Palu dan Donggala, rumah dan bangunan musnah teruk selain jalan raya retak dan jambatan runtuh.

Pemerintah Indonesia kini mengerahkan tentera dan polis bagi menangani operasi mencari dan menyelamat.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.