Siakap Keli
Sumber : Google (Gambar hiasan)

Sejauh Mana Keunikan ‘Mek Mulung’ Di Mata Masyarakat? Ini Jawapannya

Kesenian dan kebudayaan Melayu sangat luas bila diamatinya namun masyarakat kini sudah tidak pedulikan dek kerana sekarang teknologi mendahului segalanya. Tarian-tarian  yang dipersembahkan pada ketika dahulu sudah kurang dimainkan pada zaman kini.

Masihkah anda ingat tentang teater dan tarian “Mek Mulung” suatu dahulu sangat terkenal di Kampung Wang Tepus Jitra, Kedah. Uniknya tarian ini tidak dimainkan di tempat lain selain Jitra sahaja. Kisah sejarah yang dipaparkan dalam teater ini sangat mendalam semangat spiritualnya dan digeruni ramai kerana mempunyai unsur-unsur mistik.

Setiap tarian yang persembahkan mempunyai perbezaan dari segi gerak jarinya. Tarian yang sering dipersembahkan  dalam Mek Mulung ini ialah tarian sembah, tarian gambang, tarian puetri mabuk, tarian menora dan tarian sirama. Tarian ini diselang seli dengan nyanyian dengan aluna muzik yang misteri.

Menurut pandangan mata yang menonton persembahan Mek Mulung ini kelihatan begitu mudah tarian dan nyanyiannya namun mempunyai nilai seni yang tersendiri dan keunikannya sangat unik.

Mek Mulung berasal daripada Ligor, Siam dan diperkenalkan di negeri Kedah ketika berlakunya perbalahan antara Siam dan Kedah. Sesetengah berpendapat ada sebuah keluarga miskin yang jadikan persembahan muzik ini sebagai bahan hiburan mereka.

Suatu hari tanpa disedari oleh Mek Julung (orang miskin) yang ralit memalu semborongnya telah sampai ketengah-tengah hutan. Sewaktu berada di dalam hutan beliau bertemu dengan putera Cahaya Bulan yang telah dibuang negeri disebabkan oleh hasutan daripada seorang ahli nujum. Baginda sangat tertarik dengan persembahan tersebut dan akhirnya menyertai kumpulan muzik itu dengan menggelarkan kumpulan tersebut sebagai Mek Mulung.

Keunikan Mek Mulung ini apabila ianya mengekalkan ciri-ciri tradisionalnya yang lama seperti jalan ceritanya, watak-watak yang tidak berubah serta muzik dan lagunya. Kesenian Mek Mulung
ini juga mempunyai unsur ritual yang tersendiri.

Sumber : Google

Sejarah Mek Mulung

Mek Mulung adalah drama tari rakyat yang berasal dari Siam tetapi telah diperkenalkan kepada masyarakat Negeri Kedah iaitu Kampung Perik, Kuala Nerang dan akhirnya ke Kampung Wang Tepus, Jitra. Persembahan Mek Mulung akan dimulakan dengan ‘bertabuh’ di mana alat muzik akan dimainkan serentak.

Upacara pembukaan akan dimainkan dengan ‘lagu bertabik’. Raja atau Pak Mulung merupakan watak utama. Ia dibantu oleh tiga peranan iaitu Peran Tua, Peran Muda, Peran Kiau dan ahli nujum yang dipanggil Tok Wak. Pakaian Raja atau Pak Mulung ialah sepasang baju Melayu, samping songket, tengkolok, sibai, ikat bengkung dan sebilah keris. Manakala Peran memakai kain pelekat, ikat pinggang, baju singlet serta seluar. Tok Wak pula memakai kain biasa serta topeng. Alat-alat muzik terdiri dari semborong, ibu semborong, anak semborong, gong, serunai dan cerek.

Nama Mek Mulung berasal daripada perkataan ‘mek’ iaitu panggilan pada gadis-gadis, sementara perkataan ‘mulung’ pula ialah nama hutan tempat bermulanya persembahan ini.

Mengikut ceritanya, suatu masa dahulu Raja Ligor mempunyai seorang puteri yang baru dilahirkan. Bagaimanapun nujum yang menelah akan masa hadapan puterinya menasihati raja supaya membuang puteri itu kerana dipercayai akan membawa malang dan keburukan pada raja serta seluruh Negara. Raja memerintahkan supaya puterinya dibuang jauh dari istana. Beberapa inang pengasuh menawarkan diri untuk menemani puteri tersebut. Mereka dibawa jauh ke dalam hutan, kemudiannya ditinggalkan untuk hidup sendiri.

Puteri itu asyik menangis dan dayang-dayang cuba  sedaya upaya untuk  memujuk puteri itu agar jangan menangis, tetapi gagal. Akhirnya mereka membuat sebuah gendang lalu dipalukan. Si puteri, lantas berhenti menangis apabila mendengar bunyi pukulan gendang itu.

Pada masa-masa berikutnya, apabila sahaja si puteri menangis, dayang-dayang mulalah memukul gendang yang di buat. Lama-kelamaan mereka bukanlah memalu gendang semata-mata, tetapi bunyi-bunyian itu diiringi pula dengan cerita dan tarian oleh dayang-dayang. Akhirnya cerita yang di bawa mereka disebut nyanyian dan lakon Mek Mulung.

Persembahan ini tersebar di kampung Paya Kulubi, kemudian ke Perik. Malangnya, sambutan masyarakat di Perik terhadap persembahan ini tidak menggalakkan. Kemudian, mekmulung di bawa pula ke Wang Tepus,dan mendapat perhatian penduduk seluruhnya. Kini, mekmulung merupakan satu permainan tradisi yang dipersembahkan setiap tahun di Wang Tepus.

Keunikan persembahan ini dimainkan oleh kaum lelaki yang mengenakan pakain wanita. Persembahan ini sama seperti tarian Hadrah di Perlis pada ketika dahulu.  Lakonan ini dipersembahkan di dalam sebuah bangsal yang terbuka dan dikelilingi oleh penonton. Bangsal yang dibina tidak berlantai dan berdinding. Hanya mempunyai tiang dan bumbung serta para sahaja.

Sumber : Google

Persediaan Sebelum Persembahan

Sebelum sesuatu persembahan dijalankan, diadakan dulu upacara buka panggung. Upacara ini bertujuan agar para pemain dan keseluruhan persembahan berjalan dengan selamat tanpa sebarang gangguan.

Bahan-bahan yang digunakan dalam upacara ini ialah sirih pinang, kemenyan dan minyak kelapa. Sirih dijampi dan digunakan memperasapi segala jenis alat muzik sementara minyak kelapa pula disapukan pada gendang. Setelah diperasap, alat-alat muzik ini tidak boleh dilangkah. Upacara buka panggung ini dilakukan pada tiap-tiap kali mengadakan persembahan. Biasanya upacara buka gelanggang dilakukan di rumah sebelum permainan dimulakan.

Sembah Guru

Selain daripada upacara buka panggung , acara sembah guru juga paling penting dalam teater ini diadakan sekali dalam setahun.  Sembah guru ini dikatakan paling utama dan dilakukan secara besar-besaran tidak seperti acara buka panggung.

Mengikut kepercayaan, acara ini wajib diadakan kerana jika tidak melakukannya mungkin para pemain khasnya ketua kumpulan akan ditimpa bencana. Upacara sembah guru ini berlangsung selama tiga malam berturut pada acara tahunan.

Kini persembahan Mek Mulung ini diadakan pada sesetengah majlis keramaian sahaja. Bagi orang muda, mereka mungkin sudah tidak mengenali persembahan seperti ini lagi.

Sumber:

  1. http://www.jkkn.gov.my/ms/taxonomy/term/5 
  2. orangkedah
  3. http://mimbarkata.blogspot.com/2014/01/mek-mulung.html4/01/mek-mulung
  4. kkmm.com 

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang