Siakap Keli

Jabatan Muzium Malaysia Batal Program Bertemu Peminat Artis LGBT Thailand

Jabatan Muzium Malaysia menegaskan tiada acara bertemu peminat ‘Kissing Krist & Signto’ yang kononnya akan berlangsung pada 20 Oktober ini di Auditorium Muzium Negara.

Ketua Pengarah, YBhg Datuk Kamarul Baharin dalam satu kenyataan yang dimuat naik melalui Facebook menjelaskan mengenai sesi bertemu peminat kedua-dua pelakon pro-Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) yang berasal dari Thailand.

SESI BERTEMU PEMINAT KISSING KRIST& SIGNTO DI AUDITORIUM JABATAN MUZIUM MALAYSIA

Jabatan Muzium Malaysia mengambil maklum mengenai sesi bertemu peminat Kissing Krist & Signto di Auditorium Muzium Negara pada 20 Oktober ini yang telah menjadi tular di media sosial

Untuk makluman semua Jabatan Muzium Malaysia tidak sesekali berkompromi dalam isu-isu yang melanggar nilai dan norma masyarakat. Sehubungan dengan itu, pihak kami ingin menegaskan bahawa sesi bertemu peminat oleh Kissing Krist & Signto di Auditorium Muzium Negara sebagaimana yang sedang tular adalah TIDAK BENAR.

Pihak kami memohon kerjasama agar orang ramai tidak mudah mempercayai dan terpengaruh dengan berita dan isu yang tidak benar tanpa mendapatkan pengesahan daripada sumber sah.

Menurut laporan, pada 31 Mei lalu, pihak Muzium menerima permohonan sewa auditorium daripada pihak menganjur untuk program ‘Thailand Fans: Together in Kuala Lumpur’. Walau bagaimanapun, permohonan itu tidak menyatakan nama artis Thailand yang terlibat.

Sebaik mengetahui status sebenar kedua-dua artis tersebut, pihak Muzium menghubungi penganjur yang pada awalnya mendakwa program tersebut dianjurkan untuk tujuan amal dan bertindak membatalkan permohonan tersebut serta-merta.

Menurut Jabatan Muzium, syarikat tersebut memaklumkan program ini bertujuan memperkenalkan Malaysia kepada peminat-peminat artis Thailand yang hadir dari negara-negara Asia.

Antara aktiviti yang dijadualkan adalah sesi temubual antara artis Thailand dan peminat, sesi bergambar, sesi tanda tangan, mini konsert dan tayangan video ‘Malaysia Truly Asia’.

Nur Farra